PENYANYI Wany Hasrita mengumumkan bahawa beliau akan melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihannya, Al-Adib Fahmi malam ini.
Wany, 30, mengumumkan perkara gembira itu menerusi media sosial miliknya hari ini.
Di kesempatan itu, pelantun lagu Menahan Rindu itu turut memohon doa daripada sahabat dan peminat yang mengikuti perkembangannya agar urusan pernikahan beliau dan Adib dipermudahkan.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah, yang Maha Merancang tiap sesuatu di muka bumi ini.
“Wany, dengan rasa rendah hati, ingin memohon doa kalian semua untuk Wany menempuh kehidupan di fasa yang baru.
“Insya-Allah, Wany akan bernikah malam ini. Jadi, dikesempatan ini Wany ingin mohon maaf andai Wany pernah menyakiti hati, terlanjur kata atau pernah mengecilkan hati anda semua,” katanya, hari ini.
Dalam hantaran sama, Wany turut berkongsi tanda pagar #adibwany berserta tarikh hari ini.
“Maafkan kami, doakan kami,” katanya.
Sejak Oktober tahun lalu, media melaporkan pemilik nama Nurshazwany Hasrita Hasbullah dikhabarkan sedang hangat bercinta dengan seorang juruterbang dan akan berkahwin tidak lama lagi.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk mengunci mulut apabila disoal mengenai gerangan jejaka yang berjaya menambat hatinya kerana kurang selesa berkongsi selagi belum mempunyai ikatan sah.
-EDISI9