PENYANYI dan bekas penyampai radio, Zulin Aziz, 33, sah bergelar isteri kepada rakan kongsi perniagaan, Farhan Norzaini, 35, di Masjid Negara Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi ini.
Majlis akad nikah berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (JAWI).
Pasangan mempelai diijabkabul berwalikan abang pengantin perempuan, Shah Rezza Abdul Aziz. Mereka dinikahkan Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd Hosni.
Pada majlis akad nikah, Zulin atau nama sebenar, Farah Azleenda Abdul Aziz menerima wang hantaran sebanyak RM30,000.
Pengantin lelaki turut menyerahkan mas kahwin RM80 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pihak pengantin perempuan.
Bekas penyampai radio Suria FM itu berharap kehidupan bersama suami dipermudahkan.
“Saya sering digambarkan dengan cinta sejati selama ini. Begitu juga fantasi dunia kartun Disney yang membahagiakan antara dua karakter kartun.
“Namun, sebelum dua karakter kartun itu bersatu, pelbagai dugaan ditempuhi. Di alam realiti, saya melalui pahit getir dalam mencari cinta sejati.
“Kehadiran suami dua tahun lalu bagai magis yang mengubah persepsi bahawa kemarau panas berpanjangan itu berakhir dengan kehadiran pelangi selepas hujan.
“Akhir tahun lalu ketika mengerjakan umrah, dia melamar saya di Madinah,” kata Zulin usai majlis nikah seperti dilaporkan BH Online.
Malam ini, pasangan sama padan sama cantik itu akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi di premis acara, Magica Grand Hall, Shah Alam.
Zulin dan Farhan bertunang pada 28 Januari lalu.
Sekitar tahun 2018 lalu, Zulin sempat menjadi perhatian media apabila perancangan kahwin bersama pasangan tidak kesampaian.
Susulan kekecewaan berkenaan, artis tersebut juga sempat merakam satu lagu menggambarkan kesedihannya dengan aksi bersanding seorang diri tanpa kehadiran pengantin lelaki.
-EDISI9