MENOLAK fahaman politik, pemimpin Kerajaan Perpaduan dan pembangkang hari ini bersatu bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam ‘Himpunan Solidariti Bersama Gaza’ di pekarangan Masjid Negara.
Antara yang hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh.
Laungan Israel Cuak, Free Palestine serta takbir Allahuakbar bergema dengan ratusan rakyat berhimpun menyatakan solidariti.
Pada perhimpunan itu, bendera Israel turut dipijak sebagai tanda mengecam tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis.
Himpunan berkenaan adalah bagi menyampaikan mesej yang jelas bahawa Malaysia menentang segala bentuk pencabulan perundangan hak asasi manusia sejagat.
Pada masa sama turut menggesa pihak berwajib untuk bertindak tegas dan segera menghentikan segala bentuk kekejaman, penindasan dan ketidakadilan ini.
Menerusi laporan, perkembangan terkini di Gaza pada ketika ini, ratusan nyawa rakyat Palestin telah terkorban dan ribuan yang lain tercedera yang kebanyakannya adalah dari golongan wanita, kanak-kanak dan warga emas. – Edisi 9