PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang untuk ke ‘Himpunan Malaysia Bersama Palestin’ di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil esok sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin.
Menerusi hantaran di Facebook beliau, perhimpunan itu bermula dari pukul 7.30 hingga 10.30 malam.
“Ayuh seluruh rakyat Malaysia turun ke Axiata Arena, Bukit Jalil esok malam sebagai tanda solidariti kita bersama rakyat Palestin!,”katanya
Sementara itu, Ketua Sekretariat Media Perpaduan, Datuk Lokman Noor Adam memaklumkan Perdana Menteri dijangka menghadiri perhimpunan itu esok.
“Hari ini Sekretariat Media Perpaduan dijemput untuk menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Himpunan Malaysia Bersama Palestine di Bangi.
“Berikut adalah makluman awal program esok dan semua dijemput ke Himpunan Malaysia Palestin bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil.
“Program itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti persembahan serta ucapan pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kemuncaknya ucapan daripada Perdana Menteri,”katanya.
Lokman juga memaklumkan peserta digalakkan berpakaian putih ke perhimpunan tersebut.
Anwar kini berada di Kaherah, Mesir bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden Abdel Fatah El-Sisi bagi membincangkan penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi sempadan Rafah. – Edisi 9