26 C
Kuala Lumpur
Friday, May 10, 2024

12,000 penonton meriahkan konsert Judika & The Gang

Mesti Baca

MALAM Sabtu lalu telah menyaksikan kehadiran hampir 12,000  penonton ke konsert ‘Rockmantic Night – Judika & The Gang’ yang berjaya menggamatkan segenap ruang Axiata Arena, Bukit Jalil.

Bermula jam 8 malam, konsert dibawakan khas oleh syarikat penganjur acara dari Indonesia, Dua Anak Deo (DAD) Management itu benar-benar meninggalkan momen indah buat peminat dan semestinya Judika sendiri.

Selain Judika, bintang-bintang popular Malaysia seperti Marsha Milan, Haqiem Rusli dan Shila Amzah serta artis-artis tamu dari Indonesia naungan DAD Management seperti Dnanda, Daniel Pattinama dan Dr Axin turut menyerikan konsert pada malam itu sebagai pembuka acara dengan menerima sorakan yang tidak kurang hebatnya.

Momen yang ditunggu-tunggu bermula apabila Judika muncul di tengah-tengah pentas dengan menaiki motor berkuasa besar melaungkan lagu Bukan Rayuan Gombal lantas menerima sorakan paling gemuruh menggamatkan seluruh ruang Axiata Arena.

Di antara lagu-lagu yang dipersembahkan pada malam itu adalah Sampai Kau Jadi Milikku, Kisah Yang Ku Inginkan (duet bersama Shila Amzah), Putus Atau Terus, Jikalau Kau Cinta, Cinta Karena Cinta dan lain-lain.

“Saya puas dapat menyanyi habis-habisan kerana semangat ‘cinta’ yang diberikan oleh pembeli-pembeli tiket bukan sahaja dari Malaysia, bahkan juga Indonesia, Singapura serta Brunei.

“Malam ini saya mahu menghiburkan mereka semua dengan sebaiknya dan juga semaksimal yang mungkin,” kata pemilik nama Judika Nalom Abadi Sihotang ini.

Advertisements

Istimewanya, konsert pada malam itu adalah sebuah ‘family affair’ dimana Judika membawa kesemua ahli keluarganya untuk turut serta dalam konsert terbabit.

Seluruh arena menyanyikan lagu ‘happy birthday’ buat anak Judika yang baharu sahaja menyambut hari jadinya beberapa hari sebelum konsert.

Selain menyanyikan lagu-lagu hitsnya, Judika turut menyanyikan lagu Sejati nyanyian asal kumpulan Wings.

Konsert bertambah gamat apabila Judika menyanyikan lagu Cindai yang dipopularkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan caranya yang tersendiri diiringi penari latar tradisional yang memeriahkan suasana ibarat sebuah festival kesenian.

“Sebenarnya, saya sudah mempersiapkan diri selama tiga hari berturut-turut ketika latihan kerana mahu memberikan yang terbaik untuk semua.

“Inilah hasilnya semua yang hadir sangat gembira dan merasa ‘cinta’ yang saya tonjolkan pada malam ini, lebih istimewa kerana keluarga juga berpeluang melihat sendiri konsert sebesar ini yang pertama di Malaysia dan ia adalah kebanggaan buat saya.

“Terima kasih sesungguhnya buat penonton yang hadir, ‘team’ yang terbabit, artis-artis undangan dari Malaysia dan juga Indonesia, serta kepada penaja yang menjayakan konsert pada malam ini,” akhiri Judika. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Dua helikopter TLDM terhempas dalam keadaan ‘airworthy’

DUA helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut ketika raptai lintas hormat sempena Hari TLDM Ke-90...

Lagi Artikel Berkaitan