PENYANYI dan vokalis Boboy, Naqiu, masih berharap mempunyai peluang untuk menjayakan konsert bersama kumpulan Boboy.
Naqiu berkata, sebelum ini ada beberapa penganjur yang datang kepadanya menawarkan untuk menganjurkan konsert bersama kumpulannya itu.
Namun, sehingga kini janji hanya tinggal janji, malah dia membuang masa bertahun berbincang dan terkilan seolah-olah dipermainkan.
“Penganjur berkenaan seperti memberi harapan tetapi pertemuan bagi membincangkan konsert berakhir dengan sesi borak-borak kosong.
“Saya sebenarnya tidak pasti niat sebenar penganjur namun sikapnya yang sering ‘memancing’ untuk bertemu menggunakan nama Boboy menyebabkan saya rasa sakit hati untuk berurusan lagi.
“Kerenahnya ini berlanjutan lebih 10 kali dalam tempoh dua tahun kami berjumpa tetapi perancangan ke arah konsert tidak nampak apa-apa,” katanya kesal.
Juara Gegar Vaganza musim keenam itu berkata, dia mengesyaki motif individu itu menggunakan nama Boboy untuk bertemu hanya untuk cuba merapati dirinya.
“Terus-terang saya katakan, memang saya sakit hati dengan penganjur itu.
“Saya tidak meletakkan apa-apa syarat yang melampau dalam kerjasama konsert ini tetapi tidak faham mengapa dia bersikap sedemikian.
“Saya juga tidak mengharapkan ‘bulan dan bintang’ cukup sekadar penganjur komited menyediakan kelengkapan yang sewajarnya.
“Banyak benda saya minta dia tak boleh tunaikan, dan kemudian dia senyap-senyap tukar tarikh tanpa pengetahuan saya. Sudah tiga kali tukar tarikh,” katanya.
Naqiu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman konsert After Hours With Hetty Koes Endang (AHHKE), baru-baru ini.
Katanya lagi, sehingga kini Boboy tidak pernah mengadakan sebarang konsert membuatkan dia akan lebih berhati-hati lagi selepas ini.
“Boboy membawa nilai yang tinggi dalam hidup saya, jangan berani main-main dengan nama Boboy.
“Saya memang tidak serik dan berharap dapat mengadakan konsert Boboy sebab apabila buat persembahan solo pasti ada peminat minta nyanyikan lagu Boboy.
“Tidak adil jika nak bawa nama saya seorang sebab Boboy satu hal yang besar buat saya,” katanya lagi. -Edisi 9