25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

‘Waruga’ kisah seram inspirasi kepercayaan kuno Minahasa

Mesti Baca

PERKATAAN ‘Waruga‘ mungkin agak asing dalam kalangan orang Malaysia, namun ia bermaksud tempat persemadian mayat atau makam (kubur) orang yang meninggal dunia bagi suku Minahasa yang wujud di Indonesia.

Mengikut kepercayaan suku Minahasa, jasad manusia yang meninggal dunia akan disemadikan di dalam ‘waruga’ dengan kedua-dua lutut dirapatkan ke dada seperti kedudukan bayi semasa dalam kandungan kerana dipercayai jasad berkenaan akan dilahirkan semula pada masa akan datang.

Melihat kepada keunikan kepercayaan berkenaan, ia telah memberi ilham kepada D’ Ayu Pictures untuk menerbitkan sebuah filem berjudul Waruga – Kutukan Ilmu Hitam.

Pengarahnya, Azaromi Ghozali atau Romi berkata, idea untuk menghasilkan filem berkenaan bermula dengan penceritaan seorang penulis bernama Gawar Sawba’yah mengenai kepercayaan kuno berkenaan.

“Pada masa sama, saya turut mempunyai sebuah idea cerita seram yang berkait dengan ilmu hitam dan pemujaan mayat, secara tak langsung ia berkait dengan kepercayaan kaum Mihanasa ini.

“Jadi saya gabungkan dua idea ini dan terhasilnya filem Waruga. Filem ini menceritakan tentang ilmu hitam serta pemujaan untuk membangkitkan semula jasad orang yang telah mati.

“Saya memilih tajuk Waruga ini sebagai simbolik dan inspirasi kepada upacara kelahiran semula mengikut kepercayaan Minahasa,” katanya.

Waruga bakal menemui penonton di layar lebar mulai 15 Februari ini.

Romi berkata, beberapa babak yang dipaparkan dalam filem itu tidaklah dipaparkan dengan terlalu ekstrem kerana terikat garis panduan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan menjaga sensitiviti masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, jalan cerita dan babak-babak yang dirasakan tidak sesuai itu telah diringankan agar sesuai untuk ditonton dan filem Waruga berjaya mendapat P13.

Bakal ditayangkan di pawagam pada 15 Februari depan, Waruga menampilkan barisan pelakon popular seperti Zahiril Adzim, Datin Elvina Mohamad, Eriza Allya, Sahronizam Noor, Ustaz Dinie, Along Eyzendy, Izzue Islam, Ruminah Sidek, Nizam Kama, Putri Amirah Maisara dan Syed Irfan.

Berkongsi mengenai cabaran sepanjang pembikinan filem Waruga, Romi mendedahkan pelbagai perkara yang terpaksa dilalui dengan beberapa kejadian pelik yang menimpa pelakon dan kru penggambaran.

“Boleh dikatakan bermacam-macam kejadian yang terpaksa kami tempuh.

“Antaranya, salah seorang stuntman yang terjatuh dari siling ke lantai bilik kerana seakan ditolak oleh sesuatu dan menyebabkan tulang bahagian pangkal peha patah. 

Advertisements

“Begitu juga kejadian yang dilalui dua pelakon utama iaitu Zahiril dan Elvina yang turut ternampak ‘benda’ menyeramkan di depan mata.

“Apapun saya lega apabila penggambaran dapat diteruskan sehinggalah siap,” katanya.

Menjalani penggambaran di sekitar Lembang Klang pada Mac 2021 selama 20 hari, Romi menyatakan Waruga bukanlah sekadar sebuah naskhah seram semata-mata.

Katanya, filem terbaharu arahannya itu memberikan kelainan dengan menimbulkan banyak konflik hubungan yang diperkuatkan lagi dengan elemen seram. 

“Untuk filem ini, saya menggunakan konsep open ending supaya penonton boleh membayangkan sendiri apa kisah yang berlaku seterusnya. 

“Apapun saya inginkan mereka yang menonton filem ini melihat dari sudut positif tentang mesej yang disampaikan.

“Misalnya masih ada segelintir masyarakat yang masih terpedaya dengan tipu daya iblis sehingga melakukan perbuatan yang sesat dan salah di sisi agama,” katanya.

Sementara itu, Penerbit D’ Ayu Pictures, Dato Rosmarayu Mokhtar berkata, pihaknya tertarik untuk menerbitkan filem seram kerana genre seram adalah salah satu kegemaran penonton tempatan dan sering mendapat sambutan yang baik.

Katanya, selepas kali pertama menerbitkan filem seram Harum Malam, dia merasakan Waruga yang menelan kos pembikinan sebanyak RM1.8 juta menampilkan sebuah jalan cerita yang menarik yang diinspirasikan daripada sebuah kepercayaan kuno.

“Sudah tentu sebagai seorang penerbit, saya mengharapkan filem ini mendapat sambutan hangat penonton, terutama kepada penggemar filem seram.

“Malah saya turut dilamar oleh tiga syarikat pengedaran dari Indonesia bagi mengadakan tayangan serantak di sana.

“Filem Waruga juga bakal ditayangkan di negara ASEAN lain seperti Vietnam, Myammar, Singapura, Brunei dan Filipina.

“Sekurang-kurangnya dengan kutipan memberangsangkan, mungkin filem ini nanti akan ada sambungan atau saya akan terus menghasilkan filem seram yang lain pula,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan