32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

‘Geng Kubur’, kisah 4 sekawan suka lepak di tanah perkuburan

Mesti Baca

MEMILIH tanah perkuburan sebagai lokasi untuk melepak pastinya dilihat sebagai aktiviti yang sangat pelik.

Namun, ia bukanlah suatu perkara yang mustahil dan perbuatan melepak di tanah perkuburan ini memang selalu dilakukan pengarah Gavin Yap.

Gavin berkata, sejak dia dan keluarganya kembali semula ke Malaysia setelah berhijrah ke United Kingdom, tempat tinggalnya memang terletak dengan kawasan perkuburan.

“Saya tidak pasti sama ada secara kebetulan atau tidak, apabila kami menetap di Damansara Utama, rumah kami terletak hampir dengan tanah perkuburan.

“Setelah pindah ke Pulau Pinang, kediaman kami juga masih dekat dengan kubur.

“Boleh dikatakan melepak di dalam kawasan tanah perkuburan memang menjadi antara aktiviti saya bersama rakan-rakan ketika zaman persekolahan dulu,” katanya yang sebelum ini pernah mengarahkan filem Dendam Pontianak bersama Glen Goei.

Gavin berkata, perkara itu telah memberikan idea buat dirinya untuk menghasilkan sebuah filem yang berkaitan dengan aktiviti sedemikian.

Berdasarkan pengalamannya itu terhasillah sebuah filem seram berjudul Geng Kubur, di mana dia turut bertindak sebagai pengarah dan penulis skrip.

Bercerita lebih lanjut mengenai filem berkenaan, Gavin berkata, ia mengisahkan tentang empat orang sahabat baik yang menjadikan lepak di tanah perkuburan sebagai aktiviti utama mereka.

Geng Kubur bukan sekadar filem seram semata-mata, tetapi ia menitikberatkan kepada perjalanan kehidupan setiap watak iaitu empat orang sahabat.

“Di sebalik kegemaran melepak di kawasan kubur, masing-masing ada kisah sendiri yang telah menghantui kehidupan mereka,” katanya.

Filem Geng Kubur menampilkan barisan pelakon-pelakon muda seperti Firdaus Sufiyan, Mia Sara Shauki, Lion Chong dan Sasidaran selaku teraju utama.

Gavin berkata, penggambaran dilakukan pada September 2022 di beberapa buah lokasi seperti di Hulu Langat, Bandar Utama dan Kampung Baru.

Mengulas harapannya untuk filem ini, Gavin berkata dia mengharapkan naskhah terbaharu itu diterima dan menghiburkan penonton.

Dia yakin mereka yang menonton akan mengenang kembali kehidupan semasa zaman persekolahan dahulu.

Advertisements

“Saya percaya, setiap penonton akan melihat ‘diri’ mereka dalam setiap watak yang ditampilkan. Ia bukan sekadar filem seram semata-mata, tetapi lebih daripada itu,” katanya.

Sementara itu, Michael Chen selaku penerbit eksekutif menjelaskan pihaknya tertarik untuk menerbitkan filem Geng Kubur kerana kelainan yang ditampilkan.

Michael berkata, Geng Kubur bukanlah sekadar mahu menonjolkan seram samata-mata, tetapi turut menyelitkan beberapa elemen lain untuk diangkat menjadi sebuah filem.

“Selain elemen seram, antara tarikan dan kelainan filem ini adalah ia mengangkat tentang tema persahabatan, kekeluargaan dan penerimaan diri.

“Dalam filem ini, setiap watak utama tidak menjalani kehidupan yang sempurna dan mereka perlu berhadapan isu yang melanda diri masing-masing.

“Boleh dikatakan, ada mesej yang ingin disampaikan kepada penonton,” katanya.

Mengenai kos pembikinan pula, Michael mendedahkan kos keseluruhan untuk menghasilkan Geng Kubur adalah sebanyak RM1.2 juta.

Namun begitu, ia bukanlah halangan sebaliknya menghasilkan filem ini telah memberi kepuasan tersendiri buat dirinya.

“Saya dan Gavin sudah lama berkawan dan berkerjasama dalam pelbagai projek sejak tahun 2006.

“Apabila dia mencadangkan idea filem ini, saya percaya ia adalah sebuah naskhah yang sangat menarik untuk diterbitkan menjadi sebuah filem.

“Selain itu, saya juga mempunyai pasukan produksi yang telah memberikan kerjasama sangat baik sepanjang penggambaran.

“Saya sendiri tidak sabar menanti filem ini ditayangkan dan dipertontonkan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Michael berkata, filem ini juga turut mendapat maklum balas daripada mereka yang telah menontonnya dalam tayangan yang dibuat secara tertutup.

“Rata-rata yang menonton juga memuji keserasian keempat-empat barisan pelakon. Malah, ada penonton yang mengimbas semula bahawa ada babak dalam filem pernah berlaku dalam diri mereka,” katanya.

Diterbitkan oleh Iron Hill Media Sdn. Bhd., filem Geng Kubur akan menemui penonton di pawagam tanah air mulai 25 April 2024. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan