31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Filem ‘Korsakoff’ menang anugerah di Cannes, WFCS

Mesti Baca

TUAH ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah perumpamaan yang boleh diberikan kepada syarikat produksi tempatan, D’Alpha Legacy.

Ini susulan naskhah asli karya mereka, Korsakoff telah dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori khas Best Psychological Film pada anugerah Festival Filem Cannes (CWFF).

Tidak cukup dengan itu, filem tersebut juga turut memenangi anugerah di Karnival Filem Dunia – Singapura Ke-33 baru-baru ini.

Pengasas D’Alpha Legacy, Nur Aminahtul Marrdiah Md Nor berkata, pihaknya bersyukur segala kerja keras keseluruhan pasukan produksi dan pelakon-pelakon hebat negara terasa berbaloi apabila karya anak tempatan diiktiraf di mata dunia oleh penilai antarabangsa.

“Kami sekadar mencuba nasib dengan menghantar penyertaan dan akhirnya dimaklumkan sebagai pemenang untuk bulan Ogos kategori bagi Best Psychological Film, banyak juga negara lain yang menghantar karya mereka namun nasib berpihak kepada kami, terima kasih atas pengiktirafan ini.

“Walaupun filem ini sudah pun dipertontonkan di hadapan juri-juri profesional antarabangsa untuk dinilai, rakyat Malaysia hanya berpeluang menontonnya secara rasmi dan juga eksklusif, Di Pawagam Rumah Anda Astro First bermula 14 Mac ini,” katanya.

Dibintangi oleh barisan pelakon pemenang anugerah tanah air seperti Erra Fazira, Azhan Rani, Iqram Dinzly dan Ning Baizura, watak utamanya iaitu ‘Jelita’ dipegang oleh pendatang baharu, Elly Arifin.

Aminahtul berkata, walaupun Elly adalah pelakon baharu dan kali pertama memegang watak heroin, dia disokong oleh pelakon-pelakon handalan negara, dan kerjasama di antara mereka inilah yang membuatkan filem ini berjaya.

“Pemilihan pelakon dibuat berdasarkan kemampuan mereka dalam menghidupkan watak filem ini. Sebagai contoh, Erra adalah seniwati negara yang tidak perlu dipertikaikan lagi bakatnya, manakala Azhan adalah seorang pelakon method yang disegani.

Advertisements

“Bagi Iqram pula, ramai yang merindui lakonan bermutunya, manakala Ning pula mempunyai presence yang kuat di layar kamera dan bagi Elly sendiri, seorang pelakon yang berpotensi dan mampu untuk pergi jauh,” katanya.

Aminahtul berkata, idea asal filem itu tercetus daripada perbualan di antara pengarah, penerbit dan penulis skrip yang gemarkan cerita-cerita berunsurkan psikologi dan pada masa yang sama, ingin berkongsi informasi tentang kondisi penyakit korsakoff ini.

“Kami hanya berbual kosong sesama sendiri dan berhasrat mengetengahkan kewujudan penyakit ini, maka terhasillah sinopsisnya sebelum ia berkembang menjadi sebuah naskhah yang diterbitkan.

“Naskhah ini diilhamkan dari kisah-kisah benar yang pernah berlaku dan ada hubung kaitnya dengan penyakit korsakoff itu sendiri yang kemudiannya dijadikan sebuah cerita imaginasi bersama.

“Manakala proses penggambaran mengambil masa kira-kira 15 hari, ini tidak termasuk sesi lakon layar yang memakan masa empat bulan lebih,” katanya.

D’Alpha Legacy juga turut berkolaborasi dengan aplikasi media sosial yang popular iaitu TikTok Malaysia dalam usaha mereka menyokong karya-karya filem tempatan yang bermutu.

Walaupun penyakit korsakoff itu sendiri jarang didengari, namun ia wujud dalam kalangan masyarakat dan D’Alpha Legacy mahu masyarakat Malaysia faham apakah ia secara am melalui medium yang cukup menghiburkan.

“Naskhah ini jauh dari sempurna dan banyak kelemahan yang perlu kami perbaiki, namun kami berharap ia dapat memberikan satu ilmu baharu melalui keseronokan menonton bersama keluarga di bulan Ramadan nanti,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu masa untuk BN balas jasa PH – Zahid

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) adalah waktu untuk Barisan Nasional (BN) membalas...

Lagi Artikel Berkaitan