24.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

‘Trinil: Kembalikan Tubuhku’ kisah misteri Hantu Penanggal

Mesti Baca

HANTU Penanggal sememangnya antara jenis hantu yang sangat menyeramkan dengan pelbagai kisah yang sering diceritakan.

Kisah seram mengenai Hantu Penanggal itu memberi ilham kepada syarikat produksi Seven Skies Motion Sdn Bhd untuk menghasilkan sebuah filem seram berjudul Trinil:Kembalikan Tubuhku.

Menariknya, filem berkenaan diterbitkan di negara jiran, Indonesia dan lebih istimewa lagi Hanung Bramantyo yang terkenal dengan filem-filem cinta telah dipilih sebagai pengarah.

Penerbitnya, Azlin Hilda Abdul Latif berkata, ini adalah filem sulung terbitan syarikatnya dan Indonesia dipilih kerana melihat pasaran di sana yang begitu luas.

“Saya melihat kalau terbit filem di Malaysia dan meskipun mendapat sambutan hangat, agak sukar untuk memasuki pasaran Indonesia, namun filem-filem Indonesia pula selalu mendapat tempat dalam kalangan penonton di Malaysia.

“Menerusi perancangan yang dilakukan, meskipun diterbitkan di Indonesia, saya akan tetap memasarkan filem berkenaan di negara sendiri,” katanya.

Mengenai pemilihan naskhah Trinil untuk dijadikan filem, Azlin memberitahu ia adalah inspirasi daripada sebuah drama radio yang cukup popular dan viral sekitar 80-an di Indonesia.

Azlin berkata, apabila pihaknya mahu menerbitkan sebuah filem seram, dia melihat drama radio Trinil memang menjadi kegemaran pendengar.

Dalam pada itu, mengenai pemilihan Hanung selaku pengarah, Azlin berkata, ia semua berlaku di luar jangkaan.

“Sebenarnya, projek syarikat saya bersama Hanung adalah naskhah cinta, namun ia terpaksa ditangguhkan atas beberapa faktor membabitkan watak hero filem, manakala ketika itu pula semua persiapan penggambaran sudah dibuat.

“Tidak mahu membuang masa, Hanung memberikan idea untuk membuat sebuah filem seram setelah dia ditawarkan pemilik hak cipta Trinil untuk menghasilkan naskhah berkenaan.

“Kali terakhir dia buat filem seram adalah 17 tahun lalu dan dia mahu mencabar diri menerusi filem ini,” katanya.

Azlin berkata, apa yang dipaparkan bukan sekadar seram semata-mata, tetapi Hanung turut menerapkan elemen drama yang juga kekuatannya apabila menghasilkan filem-filem cinta.

Filem Trinil: Kembalikan Tubuhku dibintangi pelakon muda dan popular Indonesia seperti Carmela van der Kruk, Rangga Nattra, Shalom Razade, serta Wulan Guritno dan tidak ketinggalan pelakon terkenal Malaysia iaitu Fattah Amin.

Advertisements

Bercerita tentang Fattah Amin yang dipilih sebagai satu-satunya artis Malaysia yang membintangi filem berkenaan, Azlin melihat kredibiliti pelakon itu sebagai faktor utama.

“Ketika filem ini hendak dihasilkan, waktu itu filem Mat Kilau tengah hangat di pawagam. Hanung berasa tertarik dengan karektor Fattah dalam filem itu.

“Namun, pemilihannya bukanlah sekadar kemampuan lakonan semata-mata, tetapi popularitinya juga memainkan peranan penting dan Fattah sudah ada peminatnya sendiri di Indonesia dan menerusi filem Trinil telah membuatkan dia semakin dikenali,” kata Azlin lagi.

Mengulas penerimaan penonton filem itu sejak ditayangkan di Indonesia pada 4 Januari lalu, Azlin bersyukur kerana ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

“Kalau di Indonesia mereka mengira dari suduh jumlah penonton, berbanding di Malaysia yang menggunakan jumlah kutipan jualan tiket.

“Berdasarkan perkiraan saya dan produksi, Trinil: Kembalikan Tubuhku berjaya meraih jumlah jualan tiket sebanyak RM11 juta dan sudah ada tawaran pihak dari negara Vietnam untuk ditayangkan di sana,” katanya.

Sementara itu, Hanung berkata, populariti drama radio berkenaan juga antara faktor yang menjadikan Trinil: Kembalikan Tubuhku perlu diangkat menjadi sebuah filem.

Katanya, dia bersama penulis skrip Haqi Ahmad telah mengolah idea serta menghasilkan jalan cerita untuk filem terbaharu arahannya.

“Pertama kali mendengar drama radio berkenaan, ia sudah menimbulkan perasaan seram terhadap diri saya.

“Misalnya dialog ‘Trinil, Balekno Gembungku’ yang diungkapkan salah satu watak dalam drama radio itu cukup menyeramkan buat diri saya.

“Apa yang boleh dikatakan, saya memang cukup optimis bahawa filem ini menampilkan sebuah genre seram yang berbeza,” katanya.

Selain membariskan pelakon-pelakon muda serta berpengalaman, Hanung turut memberi pujian kepada lakonan Fattah Amin yang juga satu-satunya pelakon dari Malaysia untuk naskhah terbaharunya itu.

“Setiap barisan pelakon yang dipilih telah menjayakan watak yang diberikan dengan begitu baik sekali.

“Malah, kali pertama bekerjasama dengan Fattah Amin, saya cukup kagum dengan dirinya dan lakonannya juga memang diluar jangkaan saya,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

95,000 syarikat di bawah HRD Corp bakal latih pelajar IPMA

SEBANYAK 95,000 syarikat yang bernaung di bawah HRD Corporation (HRDC) sedia menanti para pelajar latihan dalam industri daripada institusi...

Lagi Artikel Berkaitan