25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

Mesti Baca

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu Datuk Awie kini diberi peranan sebagai seorang pengarah.

Menariknya, Awie telah dipilih untuk bertindak selaku pengarah menerusi sebuah filem aksi berjudul Rebel: Berontak Untuk Berotak.

Berkongsi tentang permulaan beliau diberikan peluang mengarah filem, Awie memberitahu ia berlaku setelah pertemuan dengan Allahyarham Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London.

“Arwah bersama penerbit datang berjumpa saya dan kami berbincang mengenai filem Rebel, namun agak terkejut apabila mereka turut menawarkan saya mengarahkan filem ini.

“Secara jujurnya, saya anggap ini satu tanggungjawab yang besar. Apapun saya terharu dengan peluang yang diberikan dan menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.

Menariknya, filem berkenaan menampilkan dua pelakon lelaki popular iaitu Ben Amir dan MK K-Clique selaku teraju utama, selain Shiqin Kamal, Azlan Komeng dan Awie sendiri yang turut berlakon.

Rebel: Berontak Untuk Berotak mengisahkan tentang perseteruan antara dua individu iaitu Luka (Ben Amir) dan Bono (MK K-Clique), meskipun mereka berada dalam sebuah pertubuhan yang sama.

Biarpun idea dan cerita asal filem Rebel ini adalah cetusan daripada dirinya sendiri, Awie menyatakan jalan ceritanya langsung tiada berkaitan dengan mana-mana pihak atau pertubuhan.

Awie berkata, apa yang ingin dipaparkan olehnya adalah tentang proses ‘baik pulih’ dalam sesebuah pertubuhan yang mungkin ada berlaku sebarang kepincangan.

“Intipati paling utama yang ingin saya paparkan adalah sikap ‘rebel’ atau memberontak yang ada dalam diri dan jiwa seorang individu. 

“Dalam kehidupan ini, setiap manusia tak ingin dilahirkan nak jadi jahat. Tentu ada punca yang membuatkan individu itu ada sikap ‘rebel’ dalam dirinya, Itu yang saya ingin tonjolkan dalam filem ini,” katanya lagi.

Mengenai pemilihan Ben Amir dan MK K-Clique selaku teraju utama, Awie merasakan sudah tiba masanya untuk industri perfileman menampilkan muka-muka baharu berlakon dalam filem aksi.

“Memang saya rancang untuk tampilkan pelakon seperti Ben Amir yang sebelum ini lebih dikenali dengan naskhah romantik. Saya cuba nak ubah dia untuk menjadi hero dalam filem aksi pula.

Advertisements

“Begitu juga dengan MK yang lebih menonjol dalam bidang nyanyian dan sudah mula aktif berlakon. Sepanjang penggambaran, saya lihat dia mempunyai kebolehan dan bakat yang besar,” katanya.

Memandangkan Rebel adalah naskhah sulung buat dirinya selaku pengarah, Awie meletakkan harapan yang tinggi agar filemnya itu dapat diterima penonton.

Katanya, setelah agak lama bergelar pelakon, sudah tiba masanya untuk dia menonjolkan diri sebagai pengarah pula.

“Tidak dinafikan tugas menjadi pengarah itu lebih sukar berbanding pelakon. Namun, sekurang-kurangnya saya belajar banyak perkara.

“Untuk filem pertama ini mungkin ada beberapa kelemahan dan kekurangan, tetapi saya akan perbaiki sekiranya mendapat peluang sebegini lagi pada masa akan datang,” kata Awie.

Sementara itu, selaku penerbit Zamin Fakry Zainol berkata, pemilihan Awie sebagai pengarah dibuat lantaran pengalaman luas beliau dalam bidang lakonan.

Oleh itu, pihaknya merasakan sudah tiba masa untuk Awie diberi peluang meraih pengalaman sebagai seorang pengarah filem.

“Sudah banyak filem yang beliau berlakon dengan pelbagai watak yang pernah dilakonkan. Kami begitu yakin pengalaman yang dimiliki itu dapat diterjemahkan pula apabila beliau duduk di kerusi pengarah.

“Sepanjang penggambaran dilakukan kami lihat beliau melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan ia dibuktikan dengan filem ini,” katanya.

Pada masa sama, Zamin juga berharap filem Rebel ini akan mendapat tempat serta memberikan impak kepada penonton terutama sekali penggemar filem aksi.

“Sudah tiba masanya penonton dapat menonton karya sulung daripada Awie, apatah lagi jalan cerita dan idea asal adalah daripada beliau sendiri.

“Kami juga yakin peminat yang suka kepada filem-filem genre aksi berpuas hati dengan naskhah yang dihasilkan ini,” katanya.

Dihasilkan dengan kos hampir RM1 juta, filem Rebel akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 2 Mei depan. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan