25.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Lagi sindiket seleweng diesel bersubsidi dipatahkan KPDN

Mesti Baca

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekali lagi berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di Kampung Batu 1, Dengkil, Selangor, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, dalam operasi Ops Tiris 3.0 itu, premis tersebut disyaki dijadikan stor haram tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel.

Beliau berkata, serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Cawangan Sepang bermula kira-kira jam 5.30 petang adalah hasil maklumat awal daripada risikan yang telah dilakukan oleh pihak KPDN Putrajaya beberapa hari sebelum operasi dilaksanakan.

“Hasil maklumat awal yang diperolehi, modus operandi sindiket ini adalah mengisi minyak diesel bersubsidi daripada beberapa buah stesen minyak di sekitar kawasan berhampiran tempat kejadian menggunakan lori yang telah diubah suai sebelum dibawa ke lokasi serbuan yang merupakan stor haram untuk menyimpan dan memindahkan minyak diesel bersubsidi sebelum dijual di pasaran gelap.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis itu, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 12,000 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lori yang diubah suai untuk mengisi minyak diesel bersubsidi sebelum dibawa ke stor haram.

Azman berkata, sebuah lori, beberapa buah tangki jenis Intermediate Bulk Containers (IBC) yang berisi minyak diesel, paip penyambung, minyak diesel dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telahdisita bagi tujuan siasatan lanjut.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM49,100 manakala dua lelaki warga tempatan berumur 57 tahun dan 44 tahun telah ditahan reman bagi membantu siasatan.

Azman berkata, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes tersebut dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber diperolehi dan diedarkan.

Advertisements

“KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

“Jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].

Iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan