KUMPULAN Houthi Yaman semalam berkata pihaknya membenarkan laluan 64 kapal di Laut Merah dengan selamat selepas masing-masing menaikkan sepanduk menolak sebarang hubungan dengan Israel.
“Penyelesaian paling mudah yang membolehkan kapal melintas dengan selamat ketika menyeberangi Laut Merah adalah dengan menaikkan papan tanda bertulis ‘Kami tiada hubungan dengan Israel’,” kata ahli kumpulan Houthi, Mohamed Ali al-Houthi dalam satu kenyataan.
Ketegangan semakin memuncak di Laut Merah di tengah-tengah serangan Houthi ke atas kapal komersial yang disyaki mempunyai kaitan dengan Israel.
Menurut Houthi serangan mereka bertujuan untuk menekan Israel supaya menghentikan serangan mautnya di Semenanjung Gaza, yang telah membunuh lebih 25,100 orang sejak serangan rentas sempadan 7 Oktober oleh kumpulan Palestin, Hamas.
Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) melancarkan serangan udara terhadap sasaran Houthi di Yaman dalam beberapa hari kebelakangan ini sebagai tindakan balas terhadap serangan itu, yang telah menimbulkan kebimbangan mengenai serangan baharu inflasi dan gangguan rantaian bekalan.
Laut Merah adalah antara laluan laut yang paling kerap digunakan di dunia untuk penghantaran bahan api.
Ia digunakan untuk transit antara Terusan Suez Mesir dan Teluk Aden, membolehkan kapal mengelak laluan yang lebih mahal dan lebih panjang merentasi pantai selatan Afrika. -Agensi