SEBAGAI tanda solidariti yang terus utuh dari Malaysia untuk Palestin, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) telah mewujudkan mekanisme bersama bagi pengumpulan barang-barang bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Wisma Putra menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, di bawah mekanisme ini, sumbangan barangan (bukan terpakai) perlu dihantar ke Pusat-pusat Pengumpulan Barangan Bantuan Misi Kemanusiaan Malaysia untuk Rakyat Palestin di Gaza.
“Sumbangan barangan berkenaan perlu dihantar pada 21-22 Oktober, di maklumat yang tertera seperti infografik yang dipaparkan.
“Berikutan itu, orang ramai yang ingin menyumbang dan mendermakan barangan tersebut adalah diminta untuk berhubung terus terlebih dahulu dengan pejabat berkenaan di maklumat perhubungan seperti yang dinyatakan,”katanya.
Selain itu, menurut kenyataan itu, sumbangan dalam bentuk wang tunai juga boleh terus disalurkan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
“Marilah kita terus bersama-sama menghulurkan sumbangan dan bantuan untuk Palestin,”kata Wisma Putra.
Berdasarkan infografik yang dipaparkan, sumbangan bantuan boleh disalurkan kepada beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) antaranya seperti Imam Response& Relief Team; HALUAN Malaysia dan MERCY Malaysia.
Sumbangan berbentuk ubat-ubatan dan bekalan perubatan yang diluluskan diterima.
Selain itu, barangan bukan makanan yang diperlukan seperti selimut kecemasan; stokin; tuala wanita; selimut tebal; khemah sesuai dengan cuaca bersalji; beg tidur untuk cuaca sejuk (0 darjah Celsius) dan lilin.
Bagi barangan makanan yang diperlukan, adalah seperti susu tepung dewasa; biskut (jenama tempatan sahaja); makanan sedia untuk dimakan; makanan tin mudah dibuka.
Manakala bagi barangan bayi, seperti lampin pakai buang; makanan bayi (biskut, susu formula); pakaian bayi; tisu basah dan selimut bayi.
Tempat pengumpulan kesemua barang-barang bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin itu adalah di Gudang MAPIM bertempat di Pusat Perindustrian CIPTA Selatan, Bandar Serenia, Sepang dan stor GPM bertempat di Taman Cemerlang, Kuala Lumpur. – Edisi 9