28.2 C
Kuala Lumpur
Monday, May 20, 2024

Benarkah kanak-kanak di Malaysia tak dapat cukup pendidikan?

Mesti Baca

Oleh DR ABD RAZAK ZAKARIA

LAPORAN Bank Dunia berkaitan kualiti pembelajaran dan pendidikan di Malaysia baru-baru ini sedikit memberi kesan dan mencalar imej Malaysia untuk menjadi hub pendidikan antara terbaik di Asia Tenggara dan dunia amnya.

Laporan menunjukkan seolah-olah Malaysia masih berada di takuk yang lama sekalipun suku abad pertama telah pun hampir tamat dan negara sedang bersedia untuk menghadapi suku abad kedua di abad ke-21 ini.

Laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia tersebut agak negatif merujuk kepada kualiti pendidikan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat.

Enrolmen yang tinggi di prasekolah dan sekolah rendah namun murid-murid dilihat masih tidak menunjukkan kesediaan untuk belajar dan penguasaan mereka terhadap kemahiran asas sangat rendah.

Kementerian Pendidikan Malaysia dalam misi mencapai zero defect dalam membekalkan pendidikan berkualiti seharusnya melihat kembali standard pembelajaran yang digariskan dalam mencapai objektif pendidikan yang diharapkan.

Gambar Hiasan.

Lebih terkesan apabila Bank Dunia cuba membuat perbandingan kualiti pembelajaran yang terdapat di Malaysia dengan negara-negara jiran serantau yang menunjukkan kualiti pembelajaran yang lebih baik dengan bajet pendidikan yang lebih rendah.

Adakah pendidikan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat tidak mencapai kualiti pendidikan global sebagaimana yang diharapkan?

Perbandingan yang telah dibuat oleh Bank Dunia juga agak menggemparkan apabila murid-murid di Malaysia menghabiskan masa yang lebih lama berbanding dengan negara serantau tetapi kualiti dan penguasaan murid tidak setara dengan masa yang dihabiskan di sekolah.

Rata-rata murid-murid di Malaysia menghabiskan 12.5 tahun di sekolah tetapi kualiti masa yang dihabiskan hanya bersamaan dengan 8.9 tahun sahaja.

Kanak-kanak di Malaysia tidak cukup mendapat pendidikan dan kurang belajar sehingga penguasaan terhadap kemahiran asas belajar dan kesediaan untuk belajar juga masih rendah.

Dilaporkan juga 98 peratus kanak-kanak telah menerima pendidikan awal di prasekolah namun 24 peratus daripadanya tidak menguasai kemahiran dan tahap kesediaan belajar juga rendah. Ke mana perginya baki masa yang dihabiskan itu?

Adakah KPM tidak benar-benar merancang akan pendidikan berkualiti kepada murid-murid sehingga ia menjejaskan kualiti pendidikan yang seharusnya murid-murid dapat sepanjang tahun belajar di sekolah?

Adakah silibus yang dirancang oleh KPM masih lagi rendah berbanding dengan negara serantau?

Advertisements

Amat ketara apabila perbandingan kualiti masa yang dihabiskan oleh murid-murid di sekolah dibandingkan dengan negara Vietnam dengan bajet dan kualiti yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara kita dan Malaysia jauh ketinggalan kebelakang dalam PISA berbanding negara Singapura dan Vietnam.

Kualiti pembelajaran dan penguasaan kemahiran ketika berada di sekolah seharusnya diambil kira dalam menentukan kemenjadiaan murid.

Apakah kayu ukur yang digunakan oleh KPM dalam menentukan hala tuju dan matlamat pendidikan dalam merealisasikan insan yang seimbang dan harmonis sebagaimana yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK)?

Jika dilihat kepada tahap penguasaan murid dalam peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saban tahun menunjukkan peningkatan penguasaan murid namun adakah ia gambaran sebenar sebagaimana yang diharapkan atau sekadar untuk menyedapkan hati rakyat Malaysia dan hakikat bahawa tahap pembelajaran di Malaysia tidak mencapai standard yang setanding dengan negara serantau.

Laporan yang dibuat oleh Bank Dunia juga menyentuh tentang kualiti guru dan standard yang ditetapkan oleh KPM dalam merencanakan pendidikan berkualiti.

Pemerkasaan guru seharusnya diberikan perhatian utama kerana guru adalah sumber pengetahuan pelajar. Hanya guru yang berkualiti dapat memberikan pengetahuan dan ilmu kepada murid dan sekaligus menjamin masa
belajar murid lebih berkualiti.

Jika di Eropah, untuk menjadi seorang guru, kelayakan minimum sekurang-kurangnya mempunyai ijazah sarjana dalam pendidikan dan mempunyai tahap penguasaan bidang bagi menjamin murid-murid mendapat pengetahuan yang berkualiti.

Guru-guru digalakkan melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi supaya ilmu yang dipelajari dapat disampaikan kepada murid-murid.

Adakah negara kita telah bersedia melatih guru-guru ke peringkat yang lebih tinggi atau memberi ruang kepada para guru untuk meningkatkan kualiti profesionalisme bagi menjamin kualiti belajar murid di sekolah tidak disia-siakan?

Menghabiskan masa yang lama di sekolah sepanjang usia kanak-kanak sehingga remaja seharusnya diisi dengan ilmu yang berkualiti dan pembelajaran yang bermakna.

Masih tidak terlambat bagi Malaysia dalam merencanakan pendidikan berkualiti dengan masa yang tidak terlalu panjang kerana jiwa murid-murid sentiasa dahagakan ilmu.

Cuma apa yang perlu disediakan adalah prasarana yang baik dan ilmu yang berkualiti sepanjang murid-murid belajar di sekolah.

Dalam masa yang sama murid-murid berasa gembira dan menjadikan sekolah sebagai satu tempat menimba ilmu yang bermanafaat dan menjamin masa depan mereka dalam mengharungi kehidupan di masa depan.


Penulis adalah Pengerusi, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UMFRDC).
Advertisements

Terkini

Zii Jia tamatkan kemarau gelaran, juarai Terbuka Thailand

PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menamatkann kemarau gelaran selama tujuh bulan apabila menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka...

Lagi Artikel Berkaitan