28.2 C
Kuala Lumpur
Monday, May 20, 2024

49 pelajar tempatan, antarabangsa sertai program anak angkat

Mesti Baca

EMPAT buah kampung di Mukim Belanja, Parit di Perak baru-baru ini menerima 49 anak angkat terdiri daripada mahasiswa tempatan dan antarabangsa di bawah Program Kesukarelawan Antarabangsa (IVP) anjuran Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kampung-kampung terbabit ialah Kampung Sadang, Kampung Tua, Kampung Changkat Banjar dan Kampung Belanja Kiri manakala sukarelawan terbabit terdiri daripada 24 mahasiswa tempatan dan 25 antarabangsa.

Mahasiswa yang terbabit pula terdiri daripada pelajar UPSI, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknikal Melaka (UteM) serta Philippine Normal University (PNU).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairuddin Abu Hanipah ketika merasmikan program itu berkata, inilah kali pertama program keluarga angkat di daerah itu menerima para pelajar antarabangsa dari Mesir, Yemen, Nigeria, Somalia, Eritrea, Syria, Filipina, Bangladesh, China dan Indonesia.

“Saya berharap keluarga angkat dan peserta dapat berkenal-kenalan, bertukar pandangan berkaitan budaya, gaya hidup dan makanan tempatan.

“Jadikan program ini sebagai satu medan kepada peserta untuk mencari pengalaman, pengetahuan dan menerokai kemahiran masyarakat kampung agar menjadi panduan pemimpin dan pendidik masa hadapan,” katanya.

Program rewang kenduri rakyat antara pengisian program keluarga angkat di Parit, Perak.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin.

Advertisements

Program selama tiga hari dua malam ini turut mendapat kerjasama Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Paynet Network Sdn. Bhd., Yayasan Perak, Legasi Setiakawan Enterprise, Torpedo Resources, UPSI Holding Sdn. Bhd., Sadang Mali Enterprise dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Sementara itu Norkhalid berharap 15 keluarga angkat yang menerima kehadiran 49 sukarelawan itu dapat menyantuni dan mendidik mereka dengan penuh kasih serta teguran yang membina demi pengukuhan adab dan akhlak mereka.

Gotong-royong di SMK Sultan Muhammad Shah.

Pengarah Program, Siti Zulaikha Zakaria berkata, objektif program tersebut adalah untuk memberi peluang kepada semua pelajar merasai dan melalui pengalaman budaya serta gaya hidup masyarakat kampung di Perak.

“Saya dan rakan-rakan jawatankuasa teruja dapat mengendalikan program ini kerana mendapat sambutan penyertaan pelajar luar negara dan Universiti Awam,” katanya.

Salah seorang peserta, Liu Stephanie Abrea daripada PNU, merasa gembira dan seronok dengan budaya di Malaysia.

“Ini kali pertama saya mengayakan baju kurung dan makan menggunakan tangan. Saya berterima kasih kepada jawatankuasa program kerana menganjurkan aktiviti yang menarik sepanjang program IVP ini,” katanya.

Antara program yang dianjurkan termasuk Slot Kepimpinan, gotong-royong di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Muhammad Shah dan Sekolah Kebangsaan Belanja, Malam Kebudayaan dan Rewang Kenduri Rakyat. – Mohd Raizol Ramli/Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zii Jia tamatkan kemarau gelaran, juarai Terbuka Thailand

PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menamatkann kemarau gelaran selama tujuh bulan apabila menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka...

Lagi Artikel Berkaitan