Tuesday, July 21, 2026

Anggota MALBATT meninggal dunia ketika misi UNIFIL di Lubnan

Mesti Baca

SEORANG pegawai dari Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) dilaporkan meninggal pagi semalam di Lubnan ketika menjalani misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL).

Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM) dalam satu kenyataan berkata, Sarjan Faridah Abd Rahman iaitu seorang Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) disahkan meninggal dunia pukul 7.25 pagi semalam waktu Malaysia.

Kenyataan itu berkata, Allahyarhamah bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, Lubnan dan disahkan meninggal dunia apabila rebah setelah turun dari bas.

Jelas MK ATM, Allahyarhamah pada ketika itu baru pulang ke Lubnan setelah selesai bercuti di Malaysia.

“Jenazah Allahyarhamah akan dihantar Ke Hospital Hammoud, Saida untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Proses bedah siasat tersebut akan dilaksanakan pada 19 Mei 2024 (Ahad) jam 10.30 pagi waktu Lubnan atau jam 3.30 petang waktu Malaysia,” kata kenyataan itu hari ini.

Markas Angkatan Bersama (MK AB) akan menguruskan proses penghantaran pulang jenazah ke tanah air dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan selanjutnya.

Allahyarhamah berusia 39 tahun berasal dari Pendang, Kedah dan mula memasuki perkhidmatan ATM dengan menyertai Tentera Darat semenjak 2007 dan ditugaskan di dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

Allahyarhamah sebelum ini bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Di Raja (MEKANIZE), Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum diatur gerak menyertai Misi MALBATT 850-11 UNIFIL.

Allahyarhamah telah mendirikan rumah tangga serta mempunyai empat orang anak iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki berusia antara empat hingga 10 tahun.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman mewakili seluruh warga ATM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Faridah

“Semoga dipermudahkan segala urusan, dan roh almarhumah dicucuri rahmat,” katanya dalam satu kenyataan berasingan. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan