MENJADI orang yang paling rapat dengan Datuk ND Lala pastinya penyanyi, Roslan Madun mengharapkan masalah keluarga ND segera selesai.
Penyanyi berusia 70 tahun itu sebak serta menitiskan air mata apabila diminta mengulas kemelut yang berlaku di antara ND dan bekas isterinya, Fauziah Sarman serta konflik membabitkan anak-anak mereka.
Menyaksikan sendiri empat anak mereka membesar di depan mata, penyanyi yang popular dengan lagu Lemak Manis ini berkata, dia sentiasa mendoakan yang terbaik buat keluarga berkenaan.
“Anak-anak mereka sudah seperti anak saya, mereka membesar depan mata dan saya melihat sendiri ketika mereka susah senang depan mata.
“Saya masih ingat, ketika kecil Shila Amzah banyak mengisi slot nyanyian jika penyanyi lambat sampai atau VIP hadir lambat. Dia yang bantu menceriakan pentas.
“Saya tidak menyebelahi sesiapa kerana kedua-duanya rakan baik saya. Namun, saya berharap dan mendoakan konflik ini berakhir dengan baik,” katanya.
Roslan berharap keluarga berkenaan berbincang bersama bagi mencari jalan penyelesaian dan tidak perlu menghebohkan masalah yang berlaku di media sosial sehingga mengundang campur tangan warganet.
Konflik keluarga ini semakin memuncak apabila Shila dan adik beradiknya bergaduh di sosial media.
Adik bongsunya, Syada memuat naik hantaran mencari rumah sewa disebabkan bakal dihalau keluar dari kediaman yang diduduki bersama ibu mereka.
Rentetan itu, Shila membuat hantaran balas dalam sesi siaran langsung di Instagram dengan mendedahkan dirinya bekerja sejak kecil selain tidak memegang kad bank serta kad pengenalan sehingga berusia 28 tahun.
Penyanyi lagu Patah Seribu itu turut memperincikan keputusan menjual rumah miliknya serta sikap Syafiq dan Syada sehingga ibu mereka tampil bersuara sekali gus menghangatkan lagi suasana.
Fauziah kecewa dan mendakwa Shila sudah mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya kerana isu terbabit. -Edisi 9