28.2 C
Kuala Lumpur
Monday, May 20, 2024

Lelaki didenda RM80,000 guna kelengkapan komunikasi tidak sah

Mesti Baca

SEORANG usahawan didenda sebanyak RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam kerana menggunakan kelengkapan komunikasi tidak diperakui iaitu SMS Blaster yang telah menyebabkan gangguan serius ke atas perkhidmatan rangkaian dan selular milik syarikat telekomunikasi tempatan.

Hakim mahkamah membuat keputusan itu selepas Orang Kena Saman (OKS) tersebut mengaku bersalah bagi empat pertuduhan yang dikenakan ke atasnya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC dalam satu kenyataan hari ini berkata, OKS merupakan lelaki tempatan berumur 36 tahun itu didakwa atas dua pertuduhan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 kerana menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui iaitu SMS Blaster masing-masing di Kondominium Memoire Suites, Dua Central dan EkoCheras, Kuala Lumpur.

Katanya, bagi dua lagi pertuduhan, OKS didakwa di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 kerana menggunakan SMS Blaster itu dan telah menyebabkan gangguan ke atas perkhidmatan rangkaian dan selular milik syarikat telekomunikasi yang berlesen.

Bagi kesemua pertuduhan tersebut, kata MCMC, OKS boleh dikenakan denda tidak melebihi RM300,000.00 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Advertisements

“Hasil siasatan Bahagian Penguatkuasaan MCMC mendapati, modus operandi yang dijalankan oleh OKS adalah dengan memasang peranti SMS Blaster bersama antena di unit-unit kondominium yang bersebelahan dengan lebuh raya.

“SMS Blaster itu telah diubah suai menjadi stesen transceiver asas yang palsu (fake BTS) dan apabila telefon bimbit orang awam melalui berdekatan SMS Blaster tersebut, perkhidmatan rangkaian dan selular 4G akan terganggu dan turun ke perkhidmatan 2G setelah bersambung dengan rangkaian fake BTS itu tadi,” katanya.

Kesannya, MCMC berkata, orang awam mula menerima mesej-mesej iklan seperti iklan perkhidmatan pinjaman wang, iklan aktiviti perjudian dan sebagainya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Selain itu, aktiviti haram ini turut mengakibatkan masalah panggilan terputus (dropped calls) serta kualiti perkhidmatan Internet yang kurang memuaskan,” kata MCMC. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zii Jia tamatkan kemarau gelaran, juarai Terbuka Thailand

PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menamatkann kemarau gelaran selama tujuh bulan apabila menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka...

Lagi Artikel Berkaitan