Monday, July 20, 2026

Pelan Tindakan Industri Penjagaan dijangka siap Julai – KPWKM

Mesti Baca

PELAN Industri Penjagaan di Malaysia yang dirangka sebagai pemacu perubahan untuk merancakkan ekonomi melalui industri penjagaan dijangka siap Julai ini.

Untuk itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah melancarkan siri Makmal Pembangunan Pelan Industri Penjagaan di Malaysia bagi tujuan tersebut.

Kementerian itu berkata, sebanyak lima siri bengkel akan diadakan dengan penglibatan pelbagai kepakaran daripada kementerian, jabatan dan agensi.

Selain itu, pertubuhan antarabangsa, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang berkemahiran menggunakan pendekatan whole of government dan whole of society turut dilibatkan.

“Matlamat unggul KPWKM berkaitan industri penjagaan ini adalah melahirkan penjaga kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang profesional dan berkemahiran.

“Di samping membangunkan piawaian yang setanding dengan piawaian negara maju dan berupaya menawarkan perkhidmatan sehingga ke peringkat antarabangsa,” kata KPWKM dalam kenyataannya hari ini.

Bagi memastikan kejayaan Industri Penjagaan ini, KPWKM berkata, pihaknya telah memberikan komitmen untuk memperkasa program latihan penjagaan kepada petugas-petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penjaga-penjaga di pusat jagaan swasta dan di rumah melalui pakej latihan secara menyeluruh di seluruh negara.

Selain itu, katanya, KPWKM akan membangunkan lebih banyak modul yang menjurus kepada penjagaan khusus kanak-kanak, warga emas, OKU berdasarkan keperluan golongan ini dan meningkatkan latihan dan persijilan Profesion Penjagaan Ibu Selepas Bersalin MamaCare.

“Pada masa yang sama, KPWKM akan meneliti semula akta-akta di bawah KPWKM yang melibatkan penjagaan seperti Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Akta Pusat Jagaan 1993 bagi memastikan syarat wajib menggaji penjaga terlatih dan piawaian jagaan yang setara dengan piawaian dunia.

“KPWKM mengalu-alukan kerjasama semua pihak untuk tampil dan berganding bahu dengan KPWKM bagi menjayakan inisiatif ini,” kata kenyataan itu. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan