33.6 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Guan Eng persoal kerajaan terdahulu isu MYAirline gulung tikar

Mesti Baca

PENGURUSAN dan pemegang saham MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) yang mengumumkan penggantungan operasinya semalam, perlu dikenakan tindakan tegas kerana memperdaya 125,000 penumpang mereka bagi tempahan tiket penerbangan.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, berkata tindakan syarikat penerbangan tambang murah itu menghentikan operasinya secara mengejut tanpa sebarang jaminan pulangan bayaran tiket sebanyak RM20 juta bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah mungkin wujud unsur jenayah.

“Pihak pengurusan melakukan jenayah apabila cuba menyembunyikan maklumat penting, malah memperdayakan pihak berkuasa dan penumpang yang ke lapangan terbang hanya untuk mengetahui bahawa penerbangan mereka sudah tiada.

“Ramai penumpang berasa tertipu dan marah terutamanya 10,000 penumpang untuk 39 penerbangan yang sepatutnya berlepas semalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan turut mempersoalkan bagaimana MYAirline diberikan lesen beroperasi oleh kerajaan terdahulu sedangkan syarikat terbabit memiliki latar belakang kewangan yang diragui.

Katanya, kegagalan urus tadbir oleh kerajaan terdahulu mencemarkan reputasi Malaysia dalam industri penerbangan.

Advertisements

“Apakah kewajaran dibuat pihak berkuasa berkaitan sehinggakan syarikat penerbangan tambang murah ini boleh gulung tikar hanya setahun selepas memulakan operasi?

“Keutamaan sekarang adalah untuk memastikan 125,000 penumpang terjejas mendapat pulangan sepenuhnya tiket penerbangan berjumlah RM20 juta,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan melaksanakan siasatan terperinci, tindakan perlu diambil bukan sahaja ke atas syarikat terbabit malah mana-mana pegawai kerajaan yang mungkin bersubahat dengan syarikat berkenaan.

Semalam, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa serta-merta sehingga diberitahu kelak.

Dalam satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu memaklumkan keputusan penggantungan terbabit dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Giliran calon PH tayang sijil UPSR, SPM

SELEPAS calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut menayangkan sijil akademik pengajiannya, kini giliran calon Pakatan Harapan (PH) pula...

Lagi Artikel Berkaitan