“LIM Guan Eng, kamu siapa nak bidas UMNO? Lagi kamu bidas lagi ramai yang akan turun 6 Januari ini.”
Demikian laungan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berhubung perhimpunan solidariti Datuk Seri Najib Razak yang akan diadakan di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya minggu depan.
Menurut beliau, perhimpunan bagi menyatakan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri itu tidak ada kaitan sama sekali dengan Kerajaan Perpaduan.
“Ini bukan perhimpunan macam perhimpunan BERSIH yang kamu buat sehingga huru-hara dan terbalik kereta. Dan saya nak bagitahu kepada Lim Guan Eng, kamu siapa nak bidas UMNO, kamu siapa nak arahkan UMNO.
“Lagi kuat kamu bidas UMNO, saya janji lagi ramai orang akan keluar 6 haribulan nanti. Kepada kawan-kawan di luar sana, dia dah mula, tunggu apa lagi…” katanya dalam rakaman video menerusi media sosialnya hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Guan yang yang membidas UMNO kerana bersama Pas mengadakan perhimpunan solidariti untuk Datuk Seri Najib Razak pada 6 Januari ini.
Dalam satu sidang media yang dianjurkan hari ini, beliau berkata, perkara itu akan menimbulkan keraguan tentang keikhlasan UMNO menjadi rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“UMNO mesti sedar bahawa sebarang program bersama dengan parti pembangkang Pas, baik perhimpunan solidariti atau pun demonstrasi, akan menimbulkan keraguan tentang kestabilan politik dan kedudukannya dalam kerajaan perpaduan,” katanya seperti dilapor media hari ini.
Sebelum ini Dr Akmal yang juga ADUN Merlimau mengerahkan ahli sayap itu supaya turun bersolidariti bersama Najib pada 6 Januari ini.
“Semboyan telah dibunyikan untuk kita sama-sama turun pada 6 Januari di Istana Kehakiman Putrajaya untuk menunjukkan solidariti kita bersama Najib.
“Jadi, semboyan telah dibunyikan, korang tunggu apa lagi,” katanya dalam satu rakaman video menyeru ahli Pemuda UMNO untuk turut serta berhimpun.
Sebelum ini kumpulan penyokong Najib telah merancang untuk mengadakan himpunan solidariti buat bekas Presiden UMNO itu.
Pas antara parti pembangkang yang mengerahkan ahlinya supaya turun berhimpun menyatakan sokongan kepada Najib.
Manakala Bersatu dan Amanah pula tidak menghalang ahli-ahlinya menyertai perhimpunan tersebut.
Mahkamah Rayuan sebelum ini menetapkan 6 Januari depan untuk pendengaran bagi rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Addendum. – Edisi 9