SULTAN Selangor, Sultan Sharufuddin Abdul Aziz Shah menzahirkan kekhuatiran baginda dengan cubaan-cubaan membunuh karakter atau character assassination yang semakin berleluasa dengan niat memberi persepsi negatif terhadap individu tertentu.
Baginda bertitah, lazimnya pembunuhan karakter ini hanya berlaku ketika musim pilihan raya namun sejak kebelakangan ini ia digunakan untuk memusnahkan kepercayaan dan seterusnya menjatuhkan individu tertentu.
“Beta ingin menasihatkan rakyat agar bijak menilai dan mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat prasangka dan percaya dengan fitnah-fitnah yang terhasil daripada cubaan untuk membunuh karakter ini.
“Sekiranya tidak dibendung, Beta bimbang kelakuan seumpamanya boleh membawa kepada lebih banyak budaya hidup yang tidak baik dan menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Beta sarankan, sekiranya terdapat kritikan atau rasa tidak puas hati di kalangan rakyat, ia seharusnya disalurkan sebagai cadangan yang membina demi manfaat semua pihak,” titah baginda dalam kenyataan sempena Tahun Baharu 2025 hari ini.
Sempena tahun baharu, baginda menyeru seluruh rakyat tidak kira agama, bangsa dan fahaman politik agar menanam azam baharu untuk lebih fokus kepada usaha membangun ekonomi dan bekerja lebih kuat demi memajukan negara dalam semua bidang.
“Beta tidak mahu ada pihak-pihak yang masih bertelagah, khususnya di kalangan pemimpin, komuniti perniagaan, penjawat awam yang tamakkan kuasa dan kemewahan.
“Beta sering perhatikan bahawa pertelagahan seumpama ini kerap menjadi punca kepada timbulnya fitnah-fitnah jahat dan adu domba serta penyebaran maklumat palsu khususnya di media sosial,” titah baginda.
Baginda percaya untuk menjadi sebuah negara yang maju, rakyatnya haruslah saling hormat menghormati, berfikiran positif dan bersatu padu.
Titah baginda, jika masih kerap bertelagah usaha-usaha untuk memajukan negara akan tergendala dan akibatnya, rakyat yang akan menanggung sengsara hanya kerana keangkuhan dan sifat pentingkan diri sendiri segelintir pihak.
Sultan Sharafuddin juga bertitah agar rakyat sama-sama berazam membanteras gejala rasuah di semua peringkat dengan meningkatkan penguatkuasaan dan yang paling penting, mengutamakan integriti dalam nilai-nilai kehidupan harian.
“Ingatlah, bahawa sebuah tamadun boleh runtuh hanya disebabkan oleh rasuah yang berleluasa dan tidak terkawal,” baginda bertitah.
Baginda yakin sekiranya sekalian rakyat menggembleng usaha dan tenaga, mengukuhkan jati diri dan berazam untuk menyumbang sesuatu kepada kemajuan negara, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih maju dan disegani pada tahun 2025 nanti. – Edisi 9