MALAYSIA diminta menangguhkan sementara pengeksportan produk sarang burung walet ke China berikutan wabak Newcastle Disease (ND), kata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) hari ini.
Jabatan itu berkata, penangguhan eksport tersebut atas arahan General Administration of Customs of the People’s Republic of China (GACC) melibatkan sarang burung walet mentah bersih dan belum bersih dari negara ini bermula 20 Disember lalu.
“Tindakan penangguhan pengeksportan ini diambil berikutan laporan wabak ND yang dikesan pada ayam dan itik di Malaysia dalam tempoh Mac hingga Jun 2024 sebagaimana yang telah dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Dunia (WOAH).
“(Bagaimanapun) Sehingga kini tiada pengesanan penyakit ND pada premis dan produk sarang burung walet yang dipantau oleh DVS,” kata kenyataan jabatan itu.
Rentetan penangguhan pengeksportan tersebut, sebanyak 22 konsainan yang berjumlah 1.769 tan metrik bernilai RM7.23 juta terdiri daripada 13 syarikat pengeksport berhadapan masalah pelepasan di pintu masuk China.
DVS berkata, pihaknya telah mengadakan sesi perbincangan dengan pengeluar dan pengeksport sarang burung walet di negara ini bagi memberikan maklumat terkini.
Selain itu, ia juga bagi membincangkan langkah-langkah penyelesaian kepada penangguhan sementara pengeksportan sarang burung walet ke China.
Katanya, DVS telah menghantar laporan terperinci berkenaan status wabak termasuk tindakan pengurusan wabak ND di Malaysia kepada pihak GACC.
Hal ini bagi menangani isu tersebut serta memberi jaminan bagi memastikan produk sarang burung walet yang dihantar ke China adalah bebas dari penyakit ND.
Jelas DVS, sebagai tindakan susulan kepada isu tersebut, tindakan mengemas kini protokol dibuat untuk dikemukakan kepada GACC agar pengeksportan sarang burung walet dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“DVS kekal komited untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan eksport antarabangsa serta melindungi kepentingan pengeksport dan pengeluar tempatan,”katanya. – Edisi 9