KERAJAAN telah menggerakkan usaha untuk menjelmakan anjakan baharu bermula tahun ini dengan 2024 bakal dikenang sebagai mukadimah kepada agenda pembaharuan nasional.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Tahun Baharu 2025 berkata, kerangka Ekonomi MADANI yang diluncurkan pada 27 Julai 2023 telah memungkinkan hala tuju jelas untuk membentuk semula Malaysia sebagai peneraju ekonomi rantau Asia.
Apa yang lebih mendesak dan mustahak, menurut Perdana Menteri adalah, kerangka Ekonomi MADANI yang memberi petunjuk kepada kepemimpinan dan generasi penerus untuk mempasak sebuah sistem ekonomi yang berteraskan prinsip manusiawi dengan ihsan dan rahmah supaya keadilan dapat ditegakkan bagi setiap rakyat Malaysia.
Pada masa sama, beliau turut memahami bahawa tidak semua keputusan kerajaan itu popular atau membuahkan hasil dengan pantas.
“Namun, semua ini dilaksanakan dengan tekad politik yang jelas, dengan niat ikhlas serta penilaian yang teliti untuk memastikan dasar-dasar tersebut memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.
“Sebagai contoh, penyasaran subsidi diesel dan sebelumnya tentang tarif elektrik yang digerakkan Kerajaan MADANI untuk menutup ketirisan sekian lama dek subsidi pukal yang telah disalurkan kepada pihak yang paling kaya, yang saya sebut sebagai mahakaya dan orang asing (seramai) 3.5 jtua orang yang tidak layak menerima subsidi.
“Alhamdulillah, peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun ini ditambah RM10 bilion yang merupakan jumlah terbesar dalam sejarah.
“Insya-Allah, pada tahun hadapan, kerajaan berhasrat untuk menambah peruntukan STR dan SARA sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion keseluruhannya,” katanya dalam amanat tersebut yang turut disiarkan secara langsung di media tempatan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan turut giat menangani fenomena kenaikan kos sara hidup melalui penganjuran Program Payung Rahmah di seluruh negara.
Menurut beliau, pasukan pemantau telah digerakkan dengan aktif untuk memerhati, memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mencatut harga dengan sewenang-wenangnya.
Perdana Menteri berkata, keadaan ekonomi semasa juga harus ditangani dengan bijak kerana ia juga melibatkan musibah banjir yang berlaku baru-baru ini.
Maka, katanya, Kerajaan MADANI telah memberi jaminan bahawa segala usaha akan terus dijalankan di semua negeri bagi memastikan bantuan sampai dengan segera dan kerja pemulihan serta bantuan secepat mungkin akan diselenggara oleh semua agensi kerajaan Pusat dengan kerjasama jentera negeri dan kerajaan tempatan atau jajahan.
“Operasi kesiapsiagaan sejak awal telah dirangka secara mampan agar dapat mengelak dari dampak buruk musibah tersebut.
“Insya-Allah, kita akan mampu mengharungi dan melindungi lebih banyak nyawa daripada terkorban atau harta benda yang rosak.
“Mengenai perbelanjaan pembangunan negara, selain daripada memberikan tumpuan kepada prasarana asas seperti jalan raya, lebuh raya dan bekalan, adalah dengan meneruskan projek tebatan banjir di kawasan-kawasan berisiko tinggi walaupun akan memberi kesan dan dampak perbelanjaan yang tinggi,” jelas beliau.