PARA pengguna dua aplikasi media sosial, Wechat dan Tiktok boleh menarik nafas lega apabila kedua-dua penyedia perkhidmatan pesanan internet itu masing-masing memperoleh lesen pengoperasian daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Malahan Wechat menerusi Tencent yang diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP-C) menjadi penyedia perkhidmatan pertama yang menerima lesen di bawah keperluan pelesenan untuk penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Malaysia.
Turut menerima lesen serupa ialah ByteDance yang mengendalikan aplikasi Tiktok.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, Telegram pula dalam peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka memperoleh lesen mereka dalam masa terdekat.
Manakala Meta yang menyelia Facebook, Instagram dan Whatsapp pula, telah memulakan proses untuk memperoleh lesen bagi membolehkan platform mereka beroperasi di dalam negara, yang dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Bagi platform X atau dahulu dikenali sebagai Twitter dan Google yang mengendalikan YouTube pula, mereka belum menghantar permohonan kepada MCMC.
“Menurut X, jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang 8 juta pengguna yang disyaratkan.
“Ketika ini, MCMC sedang giat menyemak kesahihan jumlah pengguna dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukan X,” kata kenyataan itu hari ini.
Mengenai Google pula, MCMC berkata, beberapa perkara dibangkitkan mengenai ciri-ciri perkongsian video YouTube dan klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan.
“MCMC telah membincangkan isu-isu yang dibangkitkan dan akan memastikan YouTube serta semua penyedia platform yang relevan dimaklumkan dengan jelas mengenai tugas dan tanggungjawab mereka untuk mematuhi Kerangka Pelesenan yang kini sudah berkuat kuasa.
“MCMC akan menilai status penyedia platform yang masih belum memperoleh lesen yang dikehendaki dan akan mempertimbangkan tindakan yang wajar di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Tegas MCMC, mana-mana penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan boleh tertakluk kepada siasatan dan tindakan pengawalseliaan.
MCMC sekali lagi menjelaskan keperluan pelesenan tersebut sebagai komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, mempertingkat perlindungan pengguna.
Ini terutamanya bagi kanak-kanak dan golongan rentan, serta pada masa yang sama menambah baik pengawasan kawal selia untuk penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia.
“MCMC memuji usaha Penyedia Perkhidmatan yang telah mengambil langkah proaktif ke arah pematuhan dan menekankan kepentingan untuk mematuhi keperluan pelesenan.
“Kesemua usaha ini adalah penting dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia,” katanya. – Edisi 9