UMNO tidak ambil kisah sekiranya rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menyertai himpunan Solidariti Bersama Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya 6 Januari ini.
Ini kerana, menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, parti itu boleh menguruskannya sendiri perhimpunan tersebut.
Beliau berkata, dijangka lebih 15,000 ahli UMNO akan hadir berbaju merah para hari tersebut dan ia sudah dirancang jauh lebih awal sebelum Pas keluarkan surat makluman.
“Sebab itu UMNO tidak kisah apabila Hassan Karim (Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Johor) minta ahli PKR jangan sertai perhimpunan. Tahulah UMNO urus sendiri.
“Dijangka 15,000 ahli UMNO hadir dengan berbaju merah. UMNO sudah merancang lebih awal sebelum Pas keluar surat.
“Kalau Pas boleh kumpul sampai 10,000 orang baguslah. Itu tanda Najib ada aura pada ahli Pas. Kalau ada 100 orang ahli PKR, DAP dan Bersatu datang sudah menggemparkan,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Edisi 9 difahamkan setiap bahagian UMNO seluruh negara akan menghantar sekurang-kurangnya sebuah bas bagi menghadiri perhimpunan tersebut yang telah diatur sejak awal bulan ini.
Inilah kali pertama perhimpunan secara besar-besar untuk menyatakan sokongan kepada Najib diatur sejak bekas Presiden UMNO itu dipenjarakan.
Sementara itu, Mohd Puad berkata, UMNO tidak kisah jika Pas mengambil kesempatan untuk mempolitikkan isu Najib kerana itu menandakan bekas Perdana Menteri itu mempunyai aura dalam kalangan ahli Pas.
“Banyak pihak mendakwa Pas mahu meraih manfaat politik kerana minta ahlinya turun berhimpun di Istana Kehakiman pada 6 Januari 2025 ini.
“Biarlah kalau Pas mahu main politik pun. Pihak yang menyebabkan titah adendum ini berlarutan sampai satu tahun lagi kuat main politik,” katanya.
Mohd Puad juga memberi jaminan, perhimpunan anjuran UMNO itu akan berlangsung secara aman dan mengikut peraturan.
“Perbincangan sudah dibuat dengan pihak berkuasa. Tidak akan ada pokok bunga DBKL akan rosak, tercabut atau kenderaan polis diterbalikkan seperti ketika BERSIH berhimpun dulu.
“Populariti Najib digeruni. Sebab itu ada pihak yang ikhlas dan ada yang mahu mempolitikkan titah adendum ikut nafsu masing masing. Pokoknya UMNO tetap bersolidariti dengan Najib,” katanya. – Edisi 9