BELANJAWAN 2024 meletakkan tekad dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan mengangkat darjat harakat ekonomi negara dan rakyat dengan memberi fokus kepada tiga fokus utama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, tiga fokus utama tersebut adalah tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan; penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan; dan peningkatan darjat hidup rakyat.
“Justeru, kerajaan menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara tahun depan antara empat hingga lima peratus.
“Malaysia yakin untuk mencapai pertumbuhan menghampiri lima peratus dengan pembaharuan Ekonomi MADANI yang bakal dilaksanakan skalipun diakui Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 4.3 peratus,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata, indikator ekonomi yang semakin mengukuh serta agenda reformasi yang dilakukan boleh membawa pertumbuhan menghampiri lima peratus di dorong pembaharuan Ekonomi MADANI.
Katanya, kutipan hasil kerajaan 2024 dijangka menyaksikan peningkatan daripada RM303.2 bilion tahun ini kepada RM307.6 bilion.
“Defisit fiskal 2024 diunjur berkurang kepada 4.3 peratus ketimbang sasaran lima peratus tahun ini dan 5.6 peratus tahun 2022,”katanya.
Ujar beliau, Belanjawan MADANI Kedua sebagai kesinambungan dasar yang menelusuri Kerangka Ekonomi MADANI.
Belanjawan ini adalah bajet kedua dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, yang juga Menteri Kewangan. – Edisi 9