25.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

PERKESO laksana 5 program intervensi kakitangan MYAirline

Mesti Baca

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) sudah melaksanakan lima program intervensi awal, bagi merungkai kemelut dialami pekerja syarikat penerbangan MYAirline yang ditamatkan operasinya baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata intervensi pertama diadakan melalui mesyuarat secara dalam talian bersama pengurusan sumber manusia MYAirline pada 12 Oktober lalu iaitu sejurus syarikat itu mengumumkan penggantungan operasi.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat situasi semasa pekerja syarikat itu, PERKESO kemudian menjalin kerjasama dengan Malaysia Airlines (MAS) bagi merencana usaha menyerap kakitangan MYAirline melalui temu duga yang dijalankan untuk jawatan kru kabin, jurutera dan khidmat pelanggan.

Selain itu, dua lagi mesyuarat lanjutan masing-masing diadakan pada 18 dan 19 Oktober lalu secara fizikal dan dalam talian.

“Mesyuarat membabitkan pengurusan tertinggi MYAirline ini adalah untuk merangka program susulan yang perlu diadakan secepat mungkin, demi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup pekerja syarikat penerbangan ini terjamin.

“Hasil mesyuarat itu membawa kepada taklimat faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan pemprofilan pekerja oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan untuk kakitangan MYAirline yang diadakan di Subang Jaya, selama dua hari bermula 25 Oktober lalu.

“Menerusi taklimat ini, PERKESO juga mendapatkan butiran pekerja MYAirline untuk memproses 357 permohonan faedah SIP bagi tempoh maksimum selama enam bulan, demi menjamin kelangsungan hidup keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, 12 Oktober lalu, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya serta merta dan ia berlanjutan sehingga satu tarikh akan dimaklumkan kelak.

Advertisements

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu berkata tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.

Susulan itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menggantung Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) MYAirline berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif diambil PERKESO, Mohammed Azman berkata, usaha pihaknya menyalurkan bantuan demi merungkai kemelut dialami pekerja MYAirline turut mendapat kerjasama daripada Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM).

Katanya, status kontrak perkhidmatan pekerja MYAirline yang seakan tergantung adalah antara faktor yang mempengaruhi proses permohonan faedah melalui Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Bagaimanapun, katanya PERKESO akan terus melipat gandakan usaha ke arah penyaluran bantuan, termasuk dari segi pemberian faedah, penempatan pekerjaan baharu dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja MYAirline.

“Rentetan daripada perkara ini, adalah penting untuk majikan pastikan caruman PERKESO untuk pekerja dibuat mengikut ketetapan kerana jika majikan culas, kebajikan kakitangan bakal terjejas apabila pembuangan kerja berlaku.

“Kami memandang serius terhadap majikan yang tidak berdaftar dan mencarum pekerja di bawah seliaan mereka dengan PERKESO.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap perkara ini,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan