Tuesday, July 21, 2026

Perkeso, Pepper Labs tawar biasiswa Google bantu graduan

Program yang dilaksanakan di bawah inisiatif Google Gemilang menyasarkan graduan menganggur dengan peluang untuk mendapatkan pensijilan dalam bidang berpermintaan tinggi.

Mesti Baca

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pepper Labs bekerjasama menawarkan biasiswa penuh menerusi program Google Career Certificates dalam usaha memperkasa belia negara dengan kemahiran digital sejajar kehendak pasaran masa kini.

Program tersebut, yang dilaksanakan di bawah inisiatif Google Gemilang, menyasarkan graduan menganggur dengan peluang untuk mendapatkan pensijilan dalam bidang berpermintaan tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, analisis data, pengurusan projek dan pemasaran digital.

Menerusi kerjasama itu, Perkeso berperanan mengenal pasti calon berkelayakan melalui platform MYFutureJobs dan karnival kerjaya, manakala Pepper Labs bertindak sebagai pelaksana utama dengan menyediakan latihan kemahiran teknikal dan insaniah, selain sokongan penempatan pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata inisiatif itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan belia Malaysia tidak tercicir dalam peralihan ekonomi digital.

“Ini adalah bukti keyakinan kami terhadap potensi golongan muda. Mereka perlu diberi kemahiran yang relevan dan bertaraf global agar mampu bersaing di pasaran kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Google Malaysia, Farhan Qureshi, menyifatkan kerjasama dengan Perkeso dan Pepper Labs sebagai langkah penting ke arah pembangunan ekosistem digital negara.

“Google komited menyokong usaha kerajaan Malaysia dalam menyediakan peluang ekonomi baharu melalui teknologi dan pensijilan profesional,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Pepper Labs yang diiktiraf sebagai perusahaan sosial berimpak tinggi turut menerima pengiktirafan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Bajet 2025, khususnya dalam inisiatif penubuhan dapur digital untuk komuniti berpendapatan rendah.

Kumpulan pertama peserta memulakan latihan mereka pada 26 Mei lalu, dan program ini dijangka diperluas pada masa hadapan sebagai model pembangunan belia berskala besar.

Buat masa ini, penyertaan adalah melalui jemputan, namun graduan yang berminat boleh menghubungi Pepper Labs di [email protected] bagi menyatakan minat dan mendapatkan maklumat lanjut. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan