PENAHANAN 32 individu termasuk tiga pengamal perubatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Ops Tunjang semalam adalah hasil siasatan dalaman yang dijalankan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun ini.
Perkeso dalam satu kenyataan berkata, siasatan dalaman yang dijalankan oleh Bahagian Anti-Fraud, Etika dan Integriti (AEFI) itu mendapati kartel tersebut telah beroperasi sejak beberapa tahun lalu.
“Berikutan siasatan tersebut, Perkeso telah mengambil inisiatif untuk melaporkan perkara tersebut kepada SPRM dan sejak 2 Julai 2024, telah bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM menjalankan Ops Tunjang bagi menumpaskan kartel tuntutan palsu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
SPRM hari ini menahan reman 33 individu termasuk tiga doktor ortopedik di Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya Perkeso bernilai lebih RM2.1 juta sejak 2017.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di Mahkamah Majistret George Town pada Rabu terhadap semua suspek berusia lingkungan 26 hingga 60 tahun.
Nadratun Naim memerintahkan tiga doktor berkenaan direman selama dua hari bermula hari ini sementara seorang wanita yang juga isteri salah seorang suspek lain direman sehari.
Selebihnya pula direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Perkeso berkata, Ops Tunjang akan diteruskan dengan kerjasama SPRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong telah mengarahkan
Perkeso mengambil langkah proaktif untuk merombak semula proses membuat tuntutan demi mengelak perkara seperti ini daripada berulang. – Edisi 9