27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Fenomena filem ‘Mat Kilau’: Ramai mula mahu belajar silat

Sehingga semalam, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan sudah mencatat kutipan RM7 juta dengan jualan tiket dijangka meningkat hari ini berikutan cuti umum bagi kebanyakan negeri.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

FILEM Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencetuskan fenomena tersendiri apabila banyak pihak yang tertarik untuk mempelajari silat sebaik sahaja menonton filem tersebut.

Senario berkenaan dikongsikan oleh pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut berkongsikan kata-kata seorang murid sekolah kepada gurunya iaitu ingin mempelajari silat selepas melihat filem tersebut.

“Lihatlah betapa besarnya impak sesebuah karya apabila dijulang dengan sejarah dan peradaban, ia mekar dan menghidupkan jatidiri anak-anak.

“Karya seperti Mat Kilau perlu diperbanyakkan, supaya anak cucu kita semua dapat pendedahan dan paling penting mendapat semangat pejuang yang selama ini tidur dalam diri anak-anak,” kongsinya.

Beliau turut mengucapkan tahniah buat seluruh produksi dan barisan pelakon Mat Kilau.

“Meraih RM2.8 juta dalam masa dua hari adalah bukti bahawa masyarakat kita sebenarnya sudah lama merindukan karya-karya hebat berteraskan pejuangan dan peradaban.

“Tahniah sekali lagi! Tok Abah bangga! Kagum dengan karya seperti ini.

Untuk rekod, pada hari pertama tayangan, filem terbitan Studio Kembara ini mencipta rekod sebagai filem epik tempatan pertama mencatat kutipan RM1 juta.

Tayangan pada hari kedua, iaitu Jumaat lalu, menyaksikan filem arahan Syamsul Yusof, 38, itu meraih kutipan RM2.8 juta.

Sehingga semalam, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sudah mencatat kutipan RM7 juta dengan jualan tiket dijangka meningkat hari ini berikutan cuti umum bagi kebanyakan negeri.

Filem yang diterajui Datuk Adi Putra yang diberi tanggungjawab menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau.

Filem itu disokong bintang hebat termasuk Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As’ari (Yassin).

Tak ketinggalan Datuk Rahim Razali, Namron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Filem Mat Kilau dibikin dalam suasana 1892 ketika kolonial British menduduki tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang Melayu.

Tidak membiarkan kebiadapan British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabatnya bangkit menentang British.

Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan menyebabkan British mengalami tekanan dan kerugian hingga berlakunya pertempuran sengit.

Sempena tayangan filem berkenaan, netizen turut berkongsikan gambar menghadiri panggung wayang dengan lengkap bertanjak.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan