25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Rakyat perlukan solusi, bukan pelbagai formula – Zahid

Tidak guna ada pelbagai formula tetapi tiada penyelesaian dibuat

Mesti Baca

RAKYAT pada masa kini memerlukan solusi (penyelesaian) bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup dan masalah sekuriti makanan negara, dan bukannya pelbagai formula.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak guna memberikan pelbagai formula sepertimana dikemukakan oleh ‘raja formula’ Rafizi Ramli, tetapi akhirnya tiada sebarang penyelesaian dibuat.

“Ini bukan kali pertama Rafizi Ramli memberikan cadangan atau kritikan yang self contradictory. Kita semua masih ingat siapa Rafizi dan bermacam dakyah penipuan yang ditaburkan kepada rakyat Malaysia sejak PRU-13 lagi melalui kempen “Bina Semula Negara” beliau.

“Siapa lagi masih ingat? Bermacam-macam formula untuk tol percuma, pendidikan percuma dan segala macam kaedah untuk kononnya mengurus kewangan negara dengan lebih baik.

“Tetapi apabila Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, semuanya hanya tinggal janji. Kata mereka hutang tetap hutang, dan manifesto bukan kitab suci,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Zahid menjawab pandangan sinis Timbalan Presiden PKR itu berhubung cadangan UMNO agar kerajaan menubuhkan Lembaga Unggas Kebangsaan bagi menangani kos sara hidup dan masalah sekuriti makanan negara.

Rafizi menilai cadangan itu hanya membazir wang rakyat dan akan menambah karenah birokrasi.

Bagaimanapun, Zahid berkata, cadangan Rafizi agar mewujudkan satu badan bebas untuk mengurus risiko gangguan bekalan juga akan menambahkan lagi birokrasi dan sedikit sebanyak akan menggunakan wang rakyat.

Advertisements

“Tak seperti UMNO, terutama sekali dalam isu isu sekuriti makanan, kita sentiasa konsisten.

“Seperti yang saya cadangkan sebelum ini, perlu ada koordinasi rentas kementerian melalui pengaktifan semula Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan melaksanakan pakej-pakej bantuan yang bersasar berteraskan data terkini kepada golongan memerlukan,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, melalui platform NACCOL, pelbagai cadangan dan pandangan, terutama sekali daripada pakar dan pemain industri bagi memastikan setiap keputusan kerajaan, sama ada berkenaan harga makanan, harga utiliti dan lain-lain haruslah bertujuan untuk sentiasa mengawal dan merendahkan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, ini termasuklah cadangan penubuhan Lembaga Unggas Kebangsaan yang perlu diteliti NACCOL untuk memastikan harga ayam sentiasa di tahap yang munasabah, kata Zahid.

“Rakyat perlukan solusi kepada permasalahan mereka. Rakyat tidak kisah tentang formula. Terutama sekali formula daripada Rafizi Ramli bersama PH sendiri tumbang selepas 22 bulan.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat telah menggesa kerajaan segera menangani isu kenaikan harga barangan makanan asas rakyat secara holistik, sepadu dan berkesan.

Dalam hal ini, UMNO mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Lembaga Unggas Negara bagi menyelesaikan isu ayam secara menyeluruh, mulai daripada aspek pengeluaran anak ayam, kos penternakan sehinggalah kos dedak agar tidak mudah dimanipulasi oleh pihak kartel berkepentingan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan