KERAJAAN Madani telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta kepada Pertubuhan Lima Generasi Malaysia bagi menyokong pembangunan dan pemerkasaan seni mempertahankan diri negara.
Pengasas dan Presiden Pertubuhan Lima Generasi Malaysia, Datuk Abdullah Ghani Kassim yang berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan tersebut berkata, peruntukan itu sekali gus mengiktiraf peranan seni mempertahankan diri sebagai warisan bangsa serta elemen penting pembinaan jati diri nasional.
Menurut beliau, dana tersebut akan dimanfaatkan secara berfokus dan berimpak tinggi meliputi pembangunan atlet dan jurulatih, penambahbaikan kemudahan latihan, penganjuran kejohanan serta usaha promosi di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Dana tersebut akan digunakan untuk menaik taraf prasarana latihan, menyediakan peralatan asas, memperluas kapasiti gelanggang serta memperkukuh laluan pembangunan atlet agar sasaran melahirkan pesilat dan atlet tempur bertaraf dunia dapat direalisasikan secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena Majlis Apresiasi Pendekar Negara di Seremban, Negeri Sembilan malam tadi. Hadir sama Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Abdullah Ghani berkata, majlis Apresiasi Pendekar Negara itu merupakan manifestasi awal pelaksanaan inisiatif berkenaan yang merupakan penganjuran sulung Pertubuhan Lima Generasi Malaysia.
Beliau berkata, pertubuhan itu turut menyambut baik penegasan Azman mengenai usaha kerajaan memperluas pengenalan seni persilatan dalam sistem pendidikan negara termasuk menjadikan silat sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah.
Pada majlis itu, enam pertubuhan silat terpilih menerima insentif RM70,000 setiap satu bagi tujuan pembangunan manakala lima tokoh silat negara dianugerahkan Anugerah Jasa Silat dengan insentif RM10,000 setiap seorang. — Edisi 9

