Sunday, July 19, 2026

Jemaah Menteri setuju hadkan tempoh jawatan PM 10 tahun

Dasar tersebut sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh prinsip akauntabiliti, semak dan imbang serta tadbir urus berteraskan Perlembagaan Persekutuan.

Mesti Baca

KERAJAAN bersetuju dengan cadangan dasar pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam setelah meneliti secara menyeluruh input dasar, pandangan awam serta syor-syor yang dikemukakan melalui sesi libat urus holistik dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan. 

Beliau berkata, dasar tersebut sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh prinsip akauntabiliti, semak dan imbang serta tadbir urus berteraskan Perlembagaan Persekutuan di bawah agenda reformasi institusi Kerajaan Madani.

“Cadangan pengehadan tempoh jawatan ini bertujuan mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan, memperkukuh sistem demokrasi serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan negara, selaras dengan amalan demokrasi matang di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

AZALINA OTHMAN SAID

Azalina berkata, seterusnya, kerajaan akan melaksanakan beberapa pindaan yang berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada sidang kali ini juga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat tahun baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri  awal bulan ini berkata,  kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.

Anwar berkata, RUU itu ialah satu daripada langkah reformasi institusi dilaksanakan kerajaan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan