Sunday, July 19, 2026

MCMC berjaya patahkan aktiviti ‘Fake BTS’ di Genting Highlands

Ia hasil pemantauan teknikal dan analisis rangkaian secara berterusan sehingga mengesan dua buah kenderaan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pemancaran Fake BTS.

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya mematahkan aktiviti pemancaran stesen pangkalan palsu (Fake BTS) dalam satu operasi bersepadu di Genting Highlands, 19 Januari lalu.

MCMC berkata, hasil pemantauan teknikal dan analisis rangkaian berterusan pihaknya berjaya mengesan dua buah kenderaan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pemancaran Fake BTS.

Menurut MCMC, setelah pemeriksaan di lokasi dilakukan sah berlakunya pemintasan rangkaian telekomunikasi yang dipercayai digunakan untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan kepada mangsa.

“Ini sekali gus membuktikan aktiviti tersebut dijalankan secara terancang.

“Peralatan Fake BTS dan peranti kawalan telah dirampas bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MCMC berkata, operasi dijalankan dengan kerjasama sebuah syarikat telekomunikasi.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Jelas MCMC, bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali. 

Manakala bagi kesalahan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, pelaku boleh didenda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi yang boleh menjejaskan keselamatan awam dan integriti sistem telekomunikasi negara. 

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat dan terpelihara,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan