PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tayangan filem ‘Mat Kilau’ telah mencetuskan fenomena di negara ini.
Malah beliau juga percaya ramai yang telah menonton filem berkenaan yang diinspirasikan daripada perjuangan dan keberanian pahlawan Melayu, Mat Kilau dalam menentang penjajahan.
“Impak filem ini begitu luar biasa, bukan sahaja mencatat kutipan sehingga RM90 juta dalam tempoh 33 hari tayangan, malah kepada persatuan silat apabila menerima banyak ahli baharu yang minat untuk mempelajari seni mempertahankan diri ini.
“Ini jelas menunjukkan pengaruh silat yang memaparkan semangat juang yang tinggi, pembawaan watak persilatan dan adab orang Melayu memberi impak kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk mengenalinya secara mendalam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian sempena Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka Ayer Keroh, Melaka, malam semalam.
Ujar Ismail Sabri lagi, bagi menghargai sumbangan yang diberikan oleh anak-anak silat serta membantu Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) mengembangkan seni silat di persada dunia, saya mengumumkan dana sebanyak RM1 juta kepada PESAKA.
“Silat kini berkembang luas bukan hanya di rantau ini tetapi juga negara-negara lain di dunia yang tidak berkongsi budaya dan adat resam sama. Perbezaan inilah yang menyatukan kita sebagai pengamal seni silat.
Menurut beliau, terbaharu, PESAKA dan Jabatan Warisan Negara berjaya menyenaraikan silat sebagai Warisan Tidak Ketara Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“… satu lagi pengiktirafan tertinggi buat Malaysia. Tahniah dan syabas kepada pesilat-pesilat dari seluruh negara yang bertanding di Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 Tahun 2022 dengan semangat kesukanan yang tinggi.
“Penganjuran kali ini adalah satu penghormatan besar kepada negara sebagai tuan rumah kepada lebih 40 buah negara yang mengambil bahagian,” katanya.
-EDISI9

