29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Harga ayam: PM mahu orang ramai adu terus kepadanya

Aduan boleh dibuat menerusi ruangan komen dalam media-media sosial milik beliau

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu orang ramai terus membuat aduan terus kepada beliau sekiranya terdapat peniaga yang menjual ayam segar pada harga melebihi harga siling yang ditetapkan kerajaan.

Beliau yang membuat tinjauan mengejut di sebuah pasar raya di tengah ibu kota hari ini berkata, orang ramai boleh menyalurkan maklumat lokasi premis yang menjual ayam melebihi harga siling menerusi media sosialnya.

“Jika sesiapa ada terjumpa harga ayam naik melambung, nyatakan di ruang komen (media sosial) saya di mana lagi lokasi yang anda semua jumpa ayam dijual mahal melebihi harga siling.

“Sebelum masuk bulan hadapan, harga ayam sepatutnya masih lagi berada di bawah subsidi kerajaan.

“Mengapa ada yang ambil kesempatan? Ini tidak sepatutnya berlaku,” tegas Perdana Menteri.

Bercakap kepada pemberita selepas tinjauan tersebut, Ismail Sabri berkata, beliau tidak nafikan terdapat kenaikan harga ayam dan barangan mentah lain sebelum tarikh kuat kuasa penamatan subsidi bagi produk terbabit.

“Ayam misalnya, kita masih beri subsidi hari ini sampai 30 Jun. Saya tidak faham kenapa pemborong jual pada harga RM8.90. Sebelum 30 Jun, masih lagi harga yang disubsidi oleh kerajaan, tidak sepatutnya sampai RM8.90 daripada pemborong kepada peruncit.

“Sepatutnya (harga ayam daripada pemborong) perlu lebih rendah sebab peruncit juga perlu mengambil keuntungan,” katanya di Quill City Mall hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau akan melakukan lebih banyak tinjauan sama selepas ini bagi memastikan tiada pencatutan harga barang oleh peniaga sebelum tarikh penamatan subsidi ayam dan beberapa barangan lain pada 1 Julai.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan