30.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Pelaksanaan PEMULIH perlu fokus kumpulan sasar – PAGISA

Mesti Baca

Oleh: MOHD AZRONE SARABATIN

KOTA KINABALU – Pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), perlu inklusif kepada kumpulan sasar terutamanya peniaga kecil yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kesan pandemik COVID-19.

Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA) melihat komitmen kerajaan menerusi pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhiyiddin Yassin melegakan seketika keperitan ekonomi rakyat dalam mendepani tempoh sukar.

Presidennya, Zakaria Barabag berkata, PEMULIH dilihat pakej menyeluruh yang sangat baik untuk membawa kumpulan sasar keluar daripada kekangan ekonomi disebabkan pandemik COVID-19 dengan memperuntukkan perbelanjaan besar.

ZAKARIA BRABAG

Sebagai contoh katanya, moratorium melegakan sebilangan besar rakyat, namun pihak kerajaan dan bank harus telus dengan tidak mengenakan faedah terakru, denda dan sebarang faedah lain.

Beliau berkata, paling penting bank menangguhkan bayaran pinjaman selama enam bulan tanpa sebarang faedah.

“PEMULIH juga satu bentuk keprihatinan menyeluruh pihak kerajaan kepada kumpulan peniaga khususnya yang tergolong dalam kumpulan perusahan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Zakaria berkata, pihak kerajaan harus fokus kepada kumpulan yang benar-benar terkesan khususnya dalam kalangan PKS dan peniaga kecil-kecilan kerana tidak semua kumpulan peniaga terkesan

Katanya, bagi mereka dalam kelompok perniagaan yang stabil dan mempunyai dana terkumpul sebelum PKP, mampu bangkit dan membina semula kekuatan perniagaan mereka.

“Ada sebilangan besar peniaga kecil yang wajar menjadi keutamaan khususnya mereka yang baru memulakan perniagaan.

“Golongan peniaga kecil-kecilan ini pasti mengalami kepayahan bangkit semula kerana pendapatan mereka bergantung dengan urus niaga harian yang sangat kecil,” katanya.

Advertisements

Berhubung program vaksinasi, Zakaria berkata, rakyat boleh menerima dengan hati terbuka, namun banyak isu yang berlegar berhubung ramai mendaftar dengan aplikasi MySejahtera tetapi belum mendapat giliran suntikan vaksin COVID-19 yang perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan.

“PAGISA berharap program vaksinasi COVID-19 diperhebatkan sebagai langkah berkesan mengekang penularan virus COVID-19, sekali gus mencapai imunisasi berkelompok secepat mungkin,” katanya.

Pada 28 Jun lalu, Muhyiddin mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion, bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam berdepan penularan wabak COVID-19.

Menerusi PEMULIH, kerajaan akan menyediakan dana tambahan RM400 juta bagi menambah bekalan vaksin negara, dan mempercepat jadual pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Dalam pada itu, PAGISA akan menganjurkan Program Korban, Akikah dan Sedekah di Kota Belud serta Mindanao, selatan Filipina dan Inderagiri Hilir, Riau, Indonesia sempena Aidiladha yang dijangka pada 20 Julai ini.

Sehubungan itu, Zakaria mempelawa seluruh umat Islam di negeri ini, Mindanao dan Inderagiri khususnya masyarakat Iranun untuk melaksanakan ibadah berkenaan bersama persatuan itu.

Katanya, kadar sumbangan korban dan akikah berdasarkan harga haiwan sembelihan yang berkuatkuasa di negeri ini, Mindanao dan Riau.

Beliau berkata, pelaksanaan ibadah korban di tiga negara untuk membolehkan mereka yang ingin menunaikan ibadah itu tetapi sukar kerana kekangan kewangan, kos yang tinggi dan kerisauan pandemik COVID-19 boleh menunaikan dalam satu komuniti bersama PAGISA.

“Kami juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama dan pihak berkuasa tempatan di negara terbabit untuk memastikan pelaksanaan ibadah korban menepati undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) di negara masing-masing.

“Pengagihan daging korban akan diuruskan pihak yang berpengalaman di negara terbabit dan Insya-Allah dijamin akan diagihkan kepada fakir miskin dan golongan asnaf,” katanya.

Pada 23 Jun lalu, kerajaan Sabah memutuskan membenarkan solat sunat Aidiladha dan pelaksanaan ibadah korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – EDISI 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan