24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Jangan jemput ‘malapetaka’ politik kepada UMNO

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

TIADA parti politik lain yang sedang bergelut dengan masalah dalaman ketika ini selain daripada UMNO. Ia berikutan tersebarnya berita bahawa majoriti anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO bersetuju parti itu menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pada Rabu ini, khabarnya MT akan membuat keputusan muktamad. Bagaimanapun halangan untuk kepada gerakan 7 Julai (Rabu) itu ialah majoriti ahli-ahli Parlimen UMNO menolak pendirian MT.

Mereka kekal berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO bahawa mereka semua berada dalam kerajaan sama ada sebagai anggota Kabinet mahupun GLC sehingga Parlimen dibubarkan.

Ada cakap-cakap MT pada Rabu ini akan memaksa semua ahli Parlimen UMNO melepaskan jawatan dalam kerajaan.

Penulis tidak pasti sejauh manakah 41 daripada 56 ahli MT yang dikhabarkan sudah menyokong keluar daripada Kerajaan PN membuat keputusan.

Apakah mereka sudah memikirkan sedalam-dalamnya atau begitu yakin kerajaan boleh ditumbangkan sebelum 1 Ogos seperti mana diidam-idamkan segelintir pemimpin parti itu?

Tidak dapat dinafikan ada antara pemimpin atau anggota MT mempunyai tahap kebencian politik cukup mendalam terhadap Bersatu, tetapi apa yang dilakukan sekarang termasuklah gerakkan atau ‘Projek 7 Julai’ itu tidak akan menguntungkan UMNO.

Ketika inipun imej UMNO sudahpun tercalar kerana kepemimpinan parti itu terus mahu berpolitik  ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Jika keadaan itu tidak diberi perhatian oleh anggota MT dan kepemimpinan parti itu, tidak mustahil ia akan menyaksikan gelombang penolakan rakyat keseluruhannya terhadap UMNO.

Anggota MT UMNO jangan ingat apa yang berlaku kepada kerajaan sekarang menguntungkan parti itu, ia  belum tentu kerana di peringkat akar umbi mereka tertanya-tanya dan hairan kenapakah segelintir pemimpin UMNO begitu ghairah mahu keluar daripada Kerajaan PN sekarang? Sedangkan usul Perhimpunan Agung UMNO jelas menyebut, kekal bersama kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.

Apa yang dilakukan pemimpin UMNO  sekarang dilihat cukup buruk kerana ketika rakyat bergelumang dengan ancaman Covid-19 ada pemimpin parti itu kalut hendak berkuasa dan mahu menumbangkan kerajaan.

Tambahan pula, tindakan untuk keluar daripada kerajaan mahu dilakukan kerana ia dikaitkan dengan agenda lebih besar iaitu menubuhkan jajaran baharu yang dikatakan akan melibatkan PKR dan DAP.

Tetapi apakah cita-cita itu akan tercapai, bagaimana Kerajaan PN akan tumbang, kalau Ahli Parlimen UMNO pun tidak mahu meninggalkan kerajaan?

Kalau mahu memecat mereka atas alasan tidak mematuhi arahan parti, UMNO akan tinggal berapa orang sahaja ahli Parlimen? Adakah ketika itu ada mana-mana parti mahu berpakat untuk membentuk kerajaan?

Advertisements

Selain itu orang bertanya, kalau tindakan mahu diambil ke atas ahli Parlimen UMNO yang mempertahankan keputusan Perhimpunan Agung UMNO bahawa mereka kekal berada dalam kerajaan sehingga Parlimen bubar macam mana dengan pelbagai isu yang dikaitkan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mengenai usaha membentuk jajaran baharu dengan PKR?

Kenapa anggota MT UMNO yang kononnya mahu menjaga kepentingan parti itu tidak mendesak supaya Ahmad Zahid memberi penjelasan soal surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri?

Soal rakaman audio yang cenderung kepada kesepakatan UMNO dan PKR? Dan betulkah Ahmad Zahid memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 11 Jun seperti mana tersebar beliau memaklumkan semua ahli Parlimen, MT bersetuju UMNO tarik diri daripada Kerajaan PN sebelum 1 Ogos?

Sejauh manakah pula keyakinan anggota MT bahawa kerajaan baharu boleh ditubuhkan jika gerakkan 7 Julai dilakukan? Siapakah akan menjadi kerajaan? Gabungan mana yang mempunyai majoriti ‘kukuh dan menyakinkan’?

Anggota MT UMNO perlu bertanggungjawab jika huru-hara yang mereka wujudkan gara-gara mahu menarik sokongan kepada Kerajaan PN, akhirnya akan mengundang ‘malapetaka’ politik kepada parti itu.

Jangan ingat apabila UMNO berbuat demikian, Kerajaan PN akan tumbang. Bagaimana kalau ada ahli Parlimen lain membuat pendirian menyokong sementara kerajaan sedia ada sehingga pilihan raya? Ia bukan mustahil kerana dalam politik segalanya berkemungkinan.

Bukannya  bergabung tetapi sekadar memberi sokongan sementara bagi mengelakkan politik negara kucar-kacir dan memahami rakyat sekarang sedang susah serta tidak seharusnya disumbatkan pula dengan ketidakstabilan politik!

Kalau itu berlaku, UMNO kembali berada di blok pembangkang? Dan pada masa sama Kerajaan PN terus memerintah dengan sokongan 35 ahli Parlimen UMNO yang dipecat dan melakukan penambahbaikan terhadap kelemahan yang ada? Tidakkah UMNO akan berada dalam kedudukan ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’?

Oleh itu adalah lebih baik mereka bermuhasabah dan kalau rasa ragu-ragu buat solat istikharah minta petunjuk Allah. Gerakkan politik yang sedang dilakukan oleh kepemimpinan UMNO sekarang amat bahaya dan boleh menjemput ‘malapetaka’ kepada parti itu dan negara.

Janganlah tersalah langkah dalam percaturan ini. Satu keputusan yang mahu dibuat sepenting ini, tidak boleh diiringi dengan nafsu politik mahupun keterujaan kerana merasakan akan mendapat satu yang lebih baik. 

Jika akibat keghairahan untuk menumbangkan kerajaan, UMNO dibenci oleh rakyat, negara menjadi huru-hara,  MT UMNO perlu  bertanggungjawab.

Benar sebagai anggota parti, kata Presiden harus didengar dan keputusan parti harus dipatuhi, tetapi apa yang berlaku sekarang tidak boleh dianggap keputusan parti kerana ada penentangan hebat dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri. Dan proses mendapat persetujuanpun dikatakan ‘tidak demokratik’.

Manakala usaha mewujudkan jajaran baharu pun bukan keputusan parti tetapi agenda Presiden! Dan kalau benar jajaran baharu itu melibatkan Anwar, PKR dan DAP, adakah ahli-ahli UMNO akan bersetuju? Justeru anggota MT fikirlah semasak-masaknya, sebelum ‘nasi menjadi bubur’.

  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.
Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan