25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PBB gagal lindungi hak asasi rakyat Palestin

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Serangan keganasan rejim Zionis Israel di Masjid Al-Aqsa pada Jumaat lalu membuktikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) gagal dan tidak berupaya mewujudkan kedamaian serta melindungi hak asasi manusia.

Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) berkata, keganasan terbaharu itu juga menunjukkan kebiadaban rejim Zionis Israel menindas umat Islam Palestin yang tidak berdaya.

Berikut adalah kenyataan penuh PCOM berhubung insiden berkenaan:

Sebagai kesinambungan pembersihan etnik Palestin secara sistematik oleh penjajah Israel, pasukan penjajah Israel telah, sekali lagi, melakukan kekejaman yang agresif di dalam Masjid Al-Aqsa beberapa hari lalu terhadap para jemaah yang tidak bersenjata.

Malam kelmarin, Jumaat 7 Mei, seluruh dunia telah menyaksikan wajah penjajahan, keganasan dan gangsterisme Israel yang ganas dan kejam.

Lebih 200 rakyat Palestin cedera, 90 mangsa dirawat di hospital setelah polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan membubarkan ribuan jamaah yang masuk ke masjid pada hari Jumaat terakhir bulan Ramadan, serta untuk memprotes sebagai tanda solidariti sesama rakyat Palestin yang menghadapi pengusiran dari rumah mereka oleh peneroka Yahudi di kawasan Sheikh Jarrah.

Tindakan biadab Israel ini adalah kejahatan terhadap kemanusiaan dan pelanggaran hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

Israel terus mencetuskan ketegangan dan ketidakstabilan di wilayah-wilayah yang dijajah Palestin dan menimbulkan ancaman terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa secara umum, yang membawa kepada konfrontasi baru setiap hari dan kerugian yang tidak diingini dalam nyawa dan hak asasi manusia.

Namun, masyarakat antarabangsa, yang diwakili oleh PBB, sekali lagi membuktikan kegagalan dan ketidakupayaannya untuk membawa perdamaian dan melindungi hak asasi manusia.

Israel mesti menghentikan semua tindakan provokatif dan bermusuhan dan segera menghentikan semua pengusiran, tanpa syarat.

Kegagalan berbuat demikian akan meningkatkan dan memburukkan keadaan di Palestin dan boleh membawa kepada akibat yang tidak dijangka.

Perhimpunan Agung PBB, Kesatuan Eropah (EU), Liga Arab, dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), semuanya bertanggung jawab penuh untuk memastikan rejim Zionis Israel menghentikan rancangan penjajahan dan keganasan terhadap rakyat Palestin serta mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghormati hak asasi manusia.

Rejim penjajah Israel telah menolak untuk menghormati dan gagal memenuhi kewajiban dan janji ketika ia menerima keanggotaan dalam PBB.

Oleh itu, Perhimpunan Agung PBB diminta untuk mempertimbangkan pembatalan keanggotaan Israel dalam badan tersebut dan semua agensi PBB.

Dunia harus berani, sekurang-kurangnya pada kali ini, untuk mengenakan sekatan kepada Israel, memboikot rejim fasis dan apartheid mereka yang menyeret kembali rantau Asia Barat dan seluruh dunia ke era kegelapan terorisme dan perkauman.

Kami sebagai rakyat Palestin akan meneruskan perjuangan kami sehingga dasar apartheid Israel dan rancangan penjajahan lain digagalkan.

Palestin adalah hak kita yang tidak boleh dipertikaikan. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan