BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Amertika Syarikat (AS) menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk menekan Israel agar membebaskan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan pihak berkuas rejim Zionis itu.
Menurut beliau, AS yang selama ini melindungi Israel juga diminta menekan negara itu agar membenarkan misi kemanusiaan GSF yang membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan untuk terus ke Gaza.
Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Bera itu turut menyeru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan seluruh dunia bangkit menekan Israel agar segera membebaskan kesemua anggota flotilla tanpa syarat serta memastikan saluran bantuan ke Gaza tidak lagi diganggu.
“Suara solidariti bersama Palestin tidak akan pernah padam selagi kekejaman Israel tidak dihentikan.
“Marilah kita sebagai rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan keselamatan sukarelawan Malaysia dan sukarelawan negara lain dilindungi Allah SWT dan seterusnya selamat kembali ke tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, dunia wajib mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel menahan anggota GSF yang menyertai misi kemanusiaan membawa bantuan ke Gaza.
Tegas beliau, penahanan mereka membuktikan sekali lagi bahawa Israel bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa malah menghalang bantuan kemanusiaan untuk sampai kepada rakyat yang sedang menderita.
“Tindakan rejim apartheid Zionis ini juga adalah penghinaan kepada masyarakat dunia yang telah bangkit dan berterusan mendesak Israel supaya menghentikan perang ini,” katanya.
Dalam kejadian hari ini, tentera Israel telah bertindak memintas kapal-kapal konvoi GSF di perairan antarabangsa, kira-kira 100 batu nautika dari Gaza dan menahan aktivis di dalamnya.
Sehingga kini lebih 300 aktivisi dan sukarelawan yang ditahan secara tidak sah termasuk 15 orang rakyat Malaysia. – Edisi 9

