KERAJAAN akan memastikan ahli keluarga para aktivis dan sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang kini ditahan rejim Zionis Israel akan dimaklum berhubung perkembangan semasa dan proses pembebasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa kini beliau dan kerajaan Malaysia sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan.
Anwar berkata, ini termasuk saluran diplomatik dalam usaha memastikan sukarelawan dan aktivis Malaysia, ASEAN dan antarabangsa dibebaskan dengan segera.
“Kepada ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan, semoga terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ini.
“Perkembangan setiap proses menuju pembebasan akan dimaklumkan dari masa ke masa,” kata beliau menerusi media sosialnya hari ini.
Beliau mengulas perkembangan terkini misi kemanusiaan GSF yang mana tentera rejim Israel telah bertindak memintas kapal-kapal terbabit dan menahan para aktivis dan sukarelawan kira-kira 100 batu nautika dari Gaza.

Difahamkan sehingga kini lebih 200 aktivitis telah ditahan termasuk 12 daripada 23 orang rakyat Malaysia yang menyertai konvoi tersebut.
Anwar berkata, Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban rejim zionis, khususnya apabila warganegara kita terlibat.
“Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli.
“Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan terpelihara,” katanya. — Edisi 9

