30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Malaysia, PBB bimbang situasi di Myanmar dan Palestin

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Antonio Guterres bersama-sama menyatakan kesal dan bimbang mengenai situasi keselamatan di Myanmar yang tidak menunjukkan perkembangan yang positif.

Dalam hal itu, Muhyiddin menyatakan bahawa Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain telah mengadakan pertemuan pada April lalu bagi mencari penyelesaian untuk menangani krisis politik di Myanmar.

Perdana Menteri berpandangan bahawa PBB dan ASEAN boleh bekerjasama bagi mencari jalan penyelesaian untuk menangani krisis politik di Myanmar, terutamanya melalui Konsensus Lima Perkara yang telah dicapai semasa Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN tersebut.

“Malaysia juga telah memaklumkan bahawa pelantikan suatu Utusan Khas Pengerusi ASEAN sedang dimuktamadkan dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian secara damai kepentingan rakyat Myanmar.

“Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PBB juga bersetuju supaya semua pihak yang terlibat harus terus bekerjasama secara konstruktif dengan tujuan untuk memastikan kestabilan politik dan ekonomi di Myanmar,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan media hari ini.

Hari ini, Muhyiddin telah menerima panggilan telefon daripada Guterres dan kedua-dua mereka telah mengadakan perbincangan secara mendalam mengenai isu-isu berkaitan Myanmar dan Palestin.

Mengenai situasi di Palestin pula, Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PBB telah menyatakan rasa dukacita di atas keganasan yang dilakukan oleh tentera rejim Zionis Israel di Wilayah Palestin yang diduduki.

Advertisements

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan yang telah dilakukan oleh tentera rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin yang berada di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei lalu.

“Dalam hal ini, Perdana Menteri telah menzahirkan rasa syukur dan mengalu-alukan gencatan senjata oleh kedua-dua pihak, Israel dan pejuang Palestin di Gaza.

“Dalam hal ini. Perdana Menteri telah menyatakan sokongan atas usaha PBB dan negara-negara yang terlibat supaya pihak yang bertelagah mematuhi gencatan senjata serta mencari jalan penyelesaian yang berkekalan bagi menamatkan konflik tersebut,” kata Pejabat Perdana Menteri.

Muhyiddin dan Guterres bersepakat menyatakan bahawa penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin perlu dihentikan serta-merta dan amat perlu untuk mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan keamanan yang berpanjangan untuk kedua-dua belah pihak.

Atas dasar itu, Muhyiddin menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten bagi penubuhan negara Palestin yang bebas dan merdeka dari belenggu penjajahan Israel menerusi penyelesaian dua negara berdasarkan sempada pra-1967 dengan Baitulmuqaddis sebagi ibu negara Palestin.

Sesi panggilan telefon tersebut yang dilakukan oleh Setiausaha Agung PBB ke atas Perdana Menteri bagi membincangkan isu Myanmar dan Palestin jelas menunjukkan bahawa PBB mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh Malaysia dalam isu Myanmar dan Palestin di peringkat antarabangsa. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan