25.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Gambar resolusi tinggi Makam Ibrahim julung-julung kali disiarkan

Mesti Baca

MEKAH – Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci buat julung-julung kalinya menyiarkan gambar-gambar beresolusi tinggi Makam Ibrahim yang terletak di Masjidilharam semalam.

Memetik laporan Saudi Gazette, presidensi tersebut merakamkan gambar-gambar Makam Ibrahim dengan teknik baharu yang menggunakan fokus panorama bertindih.

Pada Selasa lalu, Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci menyiarkan gambar-gambar Hajarul Aswad di Kaabah yang menggunakan teknik sama dengan saiz 49,000 megapiksel.

Makam Ibrahim merupakan batu yang mempunyai bekas tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. di mana baginda berdiri ketika membina Kaabah apabila tembok menjadi terlalu tinggi.

Batu itu disimpan dalam bingkai emas, perak dan kaca untuk memelihara tapak kaki Nabi Ibrahim a.s.

Beberapa gambar Makam Ibrahim disiarkan menerusi ciapan Twitter rasmi presidensi berkenaan, menunjukkan batu itu dari sudut yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci berkata, Makam Ibrahim merupakan batu delima dari syurga.

Makam Ibrahim terletak di pintu hadapan Kaabah, antara 10 hingga 11 meter di timur Kaabah, di bahagian menghala ke Safa dan Marwah.

Presiden itu menjelaskan bahawa makam itu adalah batu arkeologi yang berbentuk empat segi sama dengan panjang dan lebar 40 sentimeter serta ketinggian 20 sentimeter.

Warna batu itu kekuningan dan putih kemerah-merahan manakala kesan tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. berada di tengahnya.

Advertisements

Panjang tapak kaki pada permukaan batu tersebut adalah 27 sentimeter dan panjangnya 14 sentimeter.

Menurut kepercayaan Islam, Allah SWT menurunkan Hajarul Aswad dan batu makam dari syurga kepada Nabi Ibrahim a.s. dan Ismail a.s., selepas diperintahkan untuk mengangkat tapak Kaabah.

Terdapat dua tapak kaki pada makam berkenaan yang merupakan salah satu mercu tanda di Mekah.

Ketika Nabi Muhammad SAW menguasai Mekah, baginda dan para sahabat r.a. memutuskan untuk memindahkan batu tersebut dari lokasi asalnya berhampiran Kaabah ke tapak sedia ada pada jarak lebih 10 meter.

Langkah itu diambil bagi melancarkan urusan tawaf dan membolehkan jemaah bersolat di belakang makam seperti yang difirmankan dalam al-Quran.

Para sejarawan menyatakan, pemerintah pertama yang menutup makam tersebut ialah Khalifah Bani Abbasiyah, Al-Mahdi manakala Khalifah Al-Mutawakkil menutupnya dengan emas dan perak untuk memperkukuhkannya.

Dalam era kerajaan Saudi, khususnya ketika Raja Faisal memerintah, kerja-kerja pembesaran dilakukan dan beberapa struktur dialihkan bagi melancarkan urusan tawaf.

Kaca kristal dan penutup perak kemudian dipasang di Makam Ibrahim.

Ia telah diubah suai selepas kerja-kerja pemuliharaan yang dilaksanakan dalam era Raja Fahd.

Kaca yang kalis haba dan tidak mudah retak dipasang di atas makam yang ditutup dengan bingkai tembaga yang bersadur emas.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan