KERAJAAN Arab Saudi telah mengumumkan rombakan besar dalam dasar visanya dengan menghadkan pengembara dari 14 negara kepada visa kemasukan tunggal sahaja untuk tujuan pelancongan, perniagaan, dan lawatan keluarga, berkuat kuasa mulai 1 Februari lalu.
Menurut laporan media antarabangsa, dasar baharu ini menggantung pemberian visa berbilang kemasukan (MEV) selama satu tahun bagi warganegara Algeria, Bangladesh, Mesir, Ethiopia, India, Indonesia, Iraq, Jordan, Maghribi, Nigeria, Pakistan, Sudan, Tunisia, dan Yaman.
Pihak berkuasa tempatan menjelaskan, langkah itu diambil bagi menangani masalah jemaah haji tanpa permit yang semakin meningkat.
Difahamkan, sebahagian pelawat yang menggunakan program visa jangka panjang sebelum ini memilih untuk menetap lebih lama di negara itu bagi bekerja secara haram atau menunaikan ibadah haji tanpa melalui saluran rasmi.
Sedangkan, peraturan ibadah haji hanya membenarkan jemaah yang mendapat kelulusan rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi.
Namun begitu, perubahan ini tidak melibatkan pemegang visa haji atau umrah, visa diplomatik atau rasmi serta mereka yang memiliki permit pemastautin di negara tersebut.
Di bawah peraturan visa yang baharu ini, visa kemasukan tunggal akan diberikan dengan tempoh sah selama 30 hari dan tempoh penginapan maksimum juga ditetapkan selama 30 hari.
Keputusan ini memberi kesan kepada pengembara yang datang atas tujuan pelancongan, perniagaan, dan lawatan keluarga, sementara visa MEV selama setahun digantung.
Pihak berkuasa Arab Saudi mengesahkan bahawa peraturan ini bersifat sementara, namun tidak memberikan tempoh masa khusus bagi semakan semula dasar tersebut.
Setiap tahun, kerajaan negara itu mengeluarkan kuota jemaah haji dan mewajibkan permit khas bagi mereka yang ingin menunaikan ibadah berkenaan.
Bagaimanapun, Arab Saudi terus berdepan cabaran dalam menangani individu yang memasuki Makkah dengan visa bukan haji ketika musim haji berlangsung.
Sebelum ini, pegawai Arab Saudi melaporkan bahawa lebih 1,200 jemaah telah meninggal dunia semasa menunaikan haji pada tahun 2024. – Agensi