KELAB Penyokong Kerajaan Madani (BBC) membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kerana menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menderhaka terhadap institusi diraja.
Menurut BBC, kenyataan yang dibuat Hamzah dalam Dewan Rakyat semalam jelas merupakan satu fitnah jahat dan tidak berasas.
BBC berkata, tuduhan tersebut adalah taktik lama pembangkang untuk mengelirukan rakyat dengan memainkan sentimen institusi diraja demi kepentingan politik mereka sendiri.
“Ini adalah satu cubaan yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat,” kata BBC dalam kenyataan hari ini.
BBC menegaskan, Perdana Menteri tidak pernah bertindak di luar batasan Perlembagaan dan hanya menjelaskan fakta sebenar mengenai titah Sultan Pahang berkaitan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hakikatnya kata BBC, titah tersebut tidak pernah diserahkan kepada beliau dan ia berada di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC) membuktikan bahawa dakwaan pembangkang adalah tidak berasas.
Jelasnya, manipulasi fakta seperti itu bukan sahaja mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat tetapi juga merosakkan kestabilan negara.
BBC berkata, Ketua Pembangkang terus memainkan taktik politik kotor dengan memanipulasi sentimen institusi diraja bagi mengaburi rakyat daripada melihat kejayaan dan kestabilan yang sedang diusahakan oleh kerajaan.
BBC mengingatkan bahawa strategi seperti itu tidak akan membawa manfaat kepada rakyat, malah hanya mengundang kekeliruan dan ketidakstabilan politik.
“Rakyat perlu sedar bahawa tindakan sebegini tidak lebih daripada satu helah politik untuk mengalihkan perhatian daripada isu-isu pembangunan sebenar yang memerlukan penyelesaian,” kata BBC.
Kata BBC, dakwaan bahawa pelabur tidak akan masuk ke negara ini kerana kononnya berlaku penderhakaan adalah tidak berasas.
BBC menjelaskan keputusan pelabur untuk menanam modal bergantung kepada kestabilan ekonomi, dasar mesra pelabur, serta keyakinan terhadap kepimpinan negara.
“Menjadikan fitnah politik sebagai faktor utama yang menentukan ekonomi negara adalah satu langkah tidak bertanggungjawab yang hanya akan merosakkan keyakinan terhadap Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Politik fitnah tidak harus dibiar berleluasa kerana ia bukan sahaja merosakkan reputasi kerajaan tetapi juga memberi kesan buruk kepada pembangunan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.
BBC turut memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan Anwar melalui fitnah dan hasutan bakal berdepan tindakan undang-undang yang setimpal.
Katanya, negara ini ditadbir berlandaskan undang-undang dan mana-mana individu yang menyebarkan maklumat palsu untuk mencetuskan kebencian harus bertanggungjawab atas tindakan mereka.
“Malaysia memerlukan suasana politik yang matang dan sihat, bukan propaganda yang boleh memecahbelahkan rakyat serta menghalang kemajuan negara,” katanya. – Edisi 9

