SEPERTIMANA diumumkan terdahulu bahawa kerajaan tidak lagi memberikan tol percuma kepada para pengguna lebuh raya semasa musim perayaan bermula tahun ini.
Namun bagi sambutan Thaipusam, kerajaan menawarkan tambang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang selama dua hari bermula Isnin ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia bertujuan memudahkan pergerakan orang ramai khususnya para penganut agama Hindu untuk ke Batu Caves, Selayang iaitu lokasi utama perayaan tersebut.
Pada masa yang sama, beliau berkata, tren juga akan beroperasi selama 24 jam bagi tempoh empat hari bermula Ahad ini.
Laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelabuhan Klang pula akan mengalami perubahan sementara, dengan tren beroperasi mengikut jadual penuh sepanjang perayaan.
“Perubahan ini berbeza daripada jadual biasa yang hanya menawarkan enam perjalanan pada waktu puncak pagi dan petang susulan kerja naik taraf di bawah projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2),” katanya hari ini.
Sambutan perayaan Thaipusam tahun 2025 akan diraikan pada Selasa, 11 Februari ini.
Loke berkata, sebanyak 118 perjalanan tambahan disediakan sepanjang tempoh empat hari itu, menjadikan jumlah keseluruhan 494 perjalanan.
Tren tambahan akan beroperasi selepas perjalanan terakhir setiap hari, dengan jadual perjalanan dari Stesen Pulau Sebang ke Batu Caves bermula seawal jam 9:55 malam, manakala tren dari Stesen Pelabuhan Klang ke Batu Caves pula bermula pada jam 9:30 malam.
Bagi pengguna dari KL Sentral, perkhidmatan tren tambahan akan diselang dengan perjalanan sedia ada bermula dari jam 11 pagi, menjadikan kekerapan tren setiap 30 minit berbanding satu jam pada hari biasa.
Loke turut mengingatkan orang ramai supaya menyediakan kad debit, kredit atau Touch ‘n Go bagi melancarkan transaksi tanpa tunai sepanjang tempoh perkhidmatan percuma ini.
Selain itu, tiket QR fizikal turut disediakan di kaunter tiket bagi memastikan kelancaran proses masuk dan keluar penumpang di stesen.
Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad melalui RapidKL dan RapidPenang turut menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma pada Isnin dan Selasa depan.
Sebanyak 30 bas akan disediakan dengan kekerapan setiap 10 minit dari Hab Pasar Seni, LRT Gombak dan MRT Kampung Batu menuju ke Batu Caves.
Di Pulau Pinang pula, RapidPenang menyediakan 12 bas dengan kekerapan perjalanan antara 20 hingga 60 minit dari Jeti perkhidmatan feri ke Adventist.
Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd pula menawarkan perkhidmatan feri percuma selama 24 jam pada 10 dan 11 Februari, dengan lanjutan operasi sehingga jam 2.30 pagi pada Rabu berikutnya.
Langkah ini bukan sahaja bertujuan meraikan sambutan Thaipusam, tetapi juga membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih mampan. – Edisi 9

