HANYA 2,915 buah daripada 108,805 kenderaan yang diwajibkan memasang Peranti Had Kelajuan (SLD) berbuat demikian walaupun penguatkuasaanya akan bermula 1 Oktober ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang kecewa dengan maklum balas pengusaha kenderaan terbabit berkata, jumlah itu hanya 2.68 peratus sahaja manakala 97.32 peratus lagi masih belum melaksanakannya.
Beliau berkata, daripada jumlah yang sudah disahkan pemasangannya, hanya 62 buah daripada 2,528 membabitkan bas ekspres, 33 (6,241) melibatkan bas pesiaran manakala 2,820 (97,216) kenderaan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 3,500 kilogram (kg).
“Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ingin menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan selepas tarikh penguatkuasaan dikuatkuasakan sepenuhnya.
“Notis 114 (Notis Panggilan Temu Siasat) akan dikeluarkan terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi ketetapan ini,” katanya hari ini.
Pengumuman berhubung penguatkuasaan SLD dibuat pada 13 Jun lalu dan penguatkuasaan pemasangan serta penggunaannya pula akan bermula secara rasmi pada 1 Oktober ini.
Penguatkuasaan tersebut melibatkan kenderaan motor yang dibina selepas 1 Januari 2015, iaitu bas persiaran dan bas ekspres dengan BDM melebihi 5,000 kg dan lebih lapan penumpang serta kenderaan barangan dengan BDM melebihi 3,500 kg.
Sementara itu, Anthony Loke berkata, berdasarkan rekod terkini JPJ, terdapat lebih 2.4 juta pemegang Lesen Memandu Kompetan (CDL) berada dalam status tidak aktif iaitu telah tamat tempoh melebihi tiga tahun.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, kira-kira 15 juta lesen memandu yang masih aktif manakala sejumlah 925,421 yang telah tamat tempoh lesennya tidak melebihi tiga tahun.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemegang CDL yang masih aktif termasuk pemegang lesen yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun agar segera memperbaharui lesen memandu.
Beliau berkata, ini bagi mengelak mereka diwajibkan menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03).
“Sejak pengumuman berkaitan BUDI RON95, 22 September lalu, JPJ telah merekodkan sebanyak 26,991 transaksi pembaharuan CDL menerusi pelbagai saluran urus niaga seperti aplikasi MyJPJ, mySikap, kiosk atau mana-mana kaunter JPJ seluruh negara,” katanya. – Edisi 9

