UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Amanzholov University, Kazakhstan bagi memperkukuh jaringan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan mobiliti pelajar di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pemeteraian MoU itu melambangkan aspirasi bersama untuk mengembangkan perkongsian ilmu, meningkatkan program dwi ijazah, memperluas mobiliti pelajar serta memperkukuh kerjasama penyelidikan strategik antara kedua-dua institusi.
“Kerjasama ini memberi peluang luas dalam bidang Pendidikan, Sains, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Kecerdasan Buatan (AI) serta Sains Sosial.
“Melalui inisiatif ini, kita dapat menghasilkan penerbitan berimpak tinggi dan memperkukuh permohonan geran antarabangsa.
“Dengan adanya MoU ini, ia akan menjadi kerangka yang lebih kukuh untuk memacu pelbagai program strategik termasuk mobiliti pelajar, program dwijazah, pertukaran akademik, seminar, bengkel, forum akademik serta penyelidikan bersama,” katanya pada majlis itu yang berlangsung di kampus UPSI Tanjung Malim, Perak.
Sementara itu, Rektor Amanzholov University, Profesor Mukhtar Tolegen menyifatkan pemeteraian MoU itu sebagai langkah penting dalam memperluas kerjasama antarabangsa universiti berkenaan, khususnya dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
“Kami percaya kolaborasi dengan UPSI akan membuka peluang baharu untuk pelajar dan pensyarah kedua-dua pihak.
“Ia bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan tetapi juga meningkatkan kefahaman silang budaya antara masyarakat Malaysia dan Kazakhstan,” katanya.
Beliau berkata, Amanzholov University amat menghargai hubungan yang telah terjalin sejak 2024 dan melihat MoU kali ini sebagai pengukuhan kepada usaha sedia ada dalam membina jaringan akademik global yang mampan.
“Kami berkeyakinan bahawa kerjasama ini akan menghasilkan program dwijazah yang berdaya saing, penyelidikan bersama yang berimpak tinggi serta mobiliti pelajar yang lebih meluas. Usaha ini sejajar dengan aspirasi kami untuk melahirkan graduan berwawasan global,” katanya.
Hadir sama Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia, Bulat Sugurbayev; Naib Rektor bagi Pembangunan Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Profesor Madya Rovnyakova Irina dan Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus. – Oleh BAZLI RAZAK/Edisi 9

